Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

MINI ACEMAN EV MASIH TERSEDIA – DARI RM213,888

08 Jun 2026
MINI ACEMAN EV MASIH TERSEDIA – DARI RM213,888
1 / 6

MINI Malaysia (BMW Group Malaysia) telah menyiarkan sebuah siaran akhbar awal hari ini mengumumkan bahawa tawaran model MINI Aceman masih lagi tersedia untuk pasaran tempatan.
Sebagai imbasan memori, crossover kopak premium ini telah rasmi lancar pada bulan Oktober 2024. Berbeza dari model-model lain seperti hatchback Cooper dan SUV Countryman, model Aceman ini hanya tersedia sebagai tawaran bernadi elektrik penuh (EV) sahaja – ia tidak mempunyai ‘kembar’ dengan enjin pembakaran (ICE).

Di sebalik pakej penggayaan dan kelengkapannya yang premium serta ranggi, model Aceman SE yang ditawarkan untuk pasaran tempatan menjanjikan prestasi yang cukup tinggi . Ini nyata melalui setup e-motor hadapannya yang menghasil 218PS & 330Nm, serta kebolehannya untuk mencapai pecutan 0-100km/j dalam masa 7.1 saat.

Nadi tersebut dikuasai sebuah pek bateri jenis NMC 54.2kWj yang memberi jarak bergerak maksima WLTP sejauh 406KM. Selain pengecasan AC 11kW, pek tersebut juga mampu menerima input pengecasan DC pantas setinggi 95kW untuk pengecasan 10-80% hanya dalam 30 minit.

Ciri-ciri menarik tersedia termasuk paparan utama skrin sentuh bulat OLED 9.4-inci interaktif yang dikuasai oleh perisian MINI Operating System 9 terbaru, pelbagai pilihan mod panduan melalui fungsi MINI Experiences Mode, serta pakej bantuan pemanduan (ADAS) penuh dan pelbagai fungsi-fungsi pintar lain melalui Connected Package.

Buat masa kini, MINI Aceman SE juga tidak mengalami perubahan harga. Sama seperti pelancaran awalnya dahulu, tawaran EV premium import penuh (CBU) ini mempunyai harga asas RM213,888, atau RM221,288 jika dipilih dengan Pakej Waranti & Servis Lanjutan MINI.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis