Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

MFORCE UMUM PANGGILAN SEMULA UNTUK KEEWAY XDV180 EVO

25 Aug 2026
MFORCE UMUM PANGGILAN SEMULA UNTUK KEEWAY XDV180 EVO
1 / 4

Satu lagi panggilan semula (recall) telah diumumkan oleh gergasi pengedaran dua-roda pelbagai jenama MForce Bike Holdings Sdn Bhd, kali ini melalui jenama Keeway Malaysia.

Program ini membabitkan model Keeway XDV 180 Evo – salah satu tawaran skuter ‘premium’ yang agak popular daripada syarikat yang bertapak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.

Menurut MForce, panggilan semula ini melibatkan hampir 5,000 unit model tersebut setelah syarikat tersebut mengesan risiko ketahanan komponen unit swingarm. Seperti mana-mana panggilan semula sebegini, MForce akan mengganti komponen casis kritikal yang bermasalah ini dengan unit yang baharu.

Menurut MForce, swingarm baharu yang akan digantikan dalam unit-unit terbabit sudah dipertingkat dari segi rekabentuk. Ia telah dibangunkan dengan pengukuhan struktur serta  peningkatan tahap kestabilan yang lebih baik untuk penggunaan jangka panjang, khasnya jika ia digunakan dalam pelbagai situasi tunggangan.

Dengan itu, MForce sarankan semua pemilik sedia ada Keeway XDV 180 Evo di Malaysia sekarang untuk segera menyemak jika unit mereka terlibat dalam program panggilan semula ini. Pemilik boleh buat semakan tersebut di atas talian melalui portal rasmi khas panggillan semula Mforce: productrecall.mforceservice.my.

Dilancarkan hampir setahun lalu, Keeway XDV 180 Evo tampil sebagai tawaran skuter premium bergaya lasak. Model ini dikuasai enjin satu silinder 174cc yang menjana 18.2HP dan 17.2Nm, dan ia dipadankan dengan transmisi pulas-dan-pecut CVT automatik.

Walaupun penuh dengan pelbagai kelengkapan mewah dan ciri-ciri premium termasuk sistem brek ABS, serta sistem kawalan cengkaman (traction control system – TCS), model ini tampil dengan tanda harga asas yang mampu milik – RM9,388 (tanpa insurans dan cukai jalan).

Bagi pemilik unit-unit yang dikesan terlibat untuk panggilan semula ini, mereka boleh hubung dan kunjung mana-mana pengedar sah Keeway Malaysia untuk tetapkan temu janji bagi proses penggantian komponen bermasalah tersebut.

Penting sekali, kos komponen baharu dan upah kerja pemasangannya adalah percuma bagi pemilik yang terlibat.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis