Baru-baru ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah rasmi perkenalkan satu tambahan baharu bagi barisan model SL generasi ketujuh (kod casis: R232) terkemukanya, iaitu Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series.
Varian model ‘roadster’ prestasi tinggi dan terpaling mewah ini tampil semasa acara Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur 2026 (MBFWKL 2026) yang berlangsung di The Exchance, TRX, baru-baru ini.
Tidak seperti varian SL yang lain, varian Maybach ini diberi penekanan terhadap kemewahan unggul. Dengan itu, dua tema estetik ditawarkan iaitu Red Ambience atau White Ambience yang tampil dengan warna eksterior asas Obsidian Black Metallic bersama gabungan Manufaktur Garnet Metallic atau Manufaktur Opalite White Magno.
Sentuhan-sentuhan khas Maybach juga nyata melalui gril krom hadapan, aksen lampu utama rose gold, bingkau cermin berkrom, serta rim forged Maybach 21-inci.
Masuk ke ruang kabin, penggunaan balutan kulit Manufaktur Exclusive Nappa berwarna crystal white mendominasi bahagian pintu, konsol tengah dan tempat duduk yang juga dihiasi corak floral baharu. Kemasan silver chrome juga digunakan sebagai kontras kepada kabin serba putih tersebut.
Selain paparan meter digital 12.3-inci dan skrin infotainment tengan 11.9-inci, kemewahan lain yang dilengkapi di kabin termasuk ‘Airscarf’ yang menyalurkan udara panas ke bahagian leher ketika memandu dengan bumbung dibuka, pakek Energizing Package Plus, tempat duduk dengan fungsi urutan dan kawalan suhu, sistem audio Burmester high-end 3D surround sound serta head-up display (HUD).
Dari segi mekanikal pula, SL 680 Monogram Series ini dikuasai nadi 4.0-liter V8 bi-turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik 9-kelajuan. Pakej ini menghasil 585HP dan 800 Nm unutk membolehkan pecutan 0-100km/j dicapai hanya dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum 260km/j.
Turut dilengkapi adalah sistem gantungan Active Ride Control, sistem stereng roda belakang (rear-axle steering), lif gandar hadapan (front axle lift), pakej bantuan pemanduan Driving Assitance Plus, Parking Package dengan Memory Parking Assist, dan banyak lagi.
Beralih ke harga pula, MBM telah umum harga permulaan anggaran di sekitar RM2.25 juta bagi Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series ini. Angka tersebut tidak termasuk insurans, kos pendaftaran, ataupun apa-apa personalisasi tambahan.







