Awal hari ini, nasib bagi jenama Maserati di Malaysia akhirnya dijawab melalui sebuah pengumuman rasmi oleh Atlantis Motor Group. Menurut siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan, syarikat tempatan tersebut telah dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi baharu jenama mewah prestasi tinggi dari Itali itu melalui anak syarikatnya – Atlantis Automobili Sdn Bhd.
Anda mungkin pernah terdengar nama Atlantis Motor Group ini. Tahun lepas, syarikat tersebut telah tampil menghidupkan semula jenama Alfa Romeo di Malaysia apabila ia dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi ‘butik’ jenama tersebut oleh Stellantis – syarikat induk yang memiliki dua-dua jenama Itali ini.
Sebelum ini, Maserati telah diuruskan oleh Naza Italia Sdn Bhd, tetapi syarikat tersebut telah umumkan penghentian operasinya pengedaran dan jualan untuk jenama ini lewat tahun lepas. Kami difahamkan bahawa operasi selepas jualan jenama berlambang trisula ini oleh Naza Italia sudah dihentikan juga awal bulan lepas.
Siaran akhbar dari Atlantis Automobili tiba susulan penghentian tersebut. Atlantis Automobili jelaskan bahawa skop tanggungjawab penuhnya merangkumi jualan, selepas jualan, pengalaman pelanggan, pembangunan jenama dan operasi rangkaian. Ia juga akan memastikan sokongan kepada pemilik Maserati sedia ada diteruskan tanpa gangguan.
Dalam kenyataan yang sama, pengarah eksekutif Atlantis Automobili Datuk Douglas Cheng Heng Lee berkata, fokus awal syarikat adalah memastikan pengalaman pemilikan berjalan lancar di samping membina asas jangka panjang untuk operasi Maserati di Malaysia.
Dengan itu, Atlantis Automobili turut memberi jaminan bahawa pemilik Maserati sedia ada akan terus menerima sokongan selepas jualan dan khidmat pelanggan sepanjang tempoh peralihan. Saluran komunikasi khusus juga akan disediakan bagi membolehkan pelanggan mendapatkan bantuan, membuat pertanyaan dan menerima perkembangan terkini apabila diperlukan.
Tambah Datuk Douglas lagi, Maserati mempunyai warisan, mutu pertukangan dan semangat tersendiri, justeru Atlantis Automobili menyedari tanggungjawab besar yang hadir bersama peranan mewakili jenama tersebut.
Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang, Atlantis Automobili bakal menyediakan beberapa pelaburan dan penambahbaikan untuk operasi Maserati di Malaysia. Tambah Atlantis Automobili lagi, ia juga merancang membawa portfolio produk Maserati baharu dan terkini pelanggan Malaysia.
Buat masa ini, jualan dan servis sementara jenama Maserati sudah mula beroperasi di Rhapsody Square, TREC 438, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Bilik pameran ini disokong dengan sebuah pusat servis selepas jualan sementara yang terletak di Kawasan Perindustrian Temasya, Glenmarie, Shah Alam, Selangor.
Maklumat lanjut mengenai kemudahan baharu, inisiatif pelanggan dan perkembangan masa hadapan akan diumumkan dalam masa terdekat.



