Jazeman Jaafar baru sahaja dilantik sebagai bendahari baharu Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (Motorsports Association of Malaysia – MAM).
Pelantikan itu disahkan MAM melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan awal minggu ini. Persatuan itu berkata ini menandakan satu langkah strategik bagi mengukuhkan struktur pimpinan organisasi tersebut.
Pemuda 33 tahun itu yang juga antara pelumba profesional terkemuka negara mengganti Dato’ Razlan Razali yang telah letak jawatan sebagai Bendahari MAM bulan lepas. Kami difahamkan bekas pemilik pasukan MotoGP dan ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah undur untuk fokus dalam perniagaan peribadinya.
Dengan pengalaman luas serta pendedahan di arena antarabangsa, Jazeman diyakini mampu menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh pengurusan kewangan MAM, di samping memperkasa hala tuju strategik organisasi ke arah yang lebih progresif dan mampan.
