Baru-baru ini, MForce Bike Holdings (MForce), selaku pengedar rasmi jenama LS2 (LS2 Malaysia), telah menganjurkan LS2 Asia and Oceania International Convention 2026 di Kuala Lumpur. Persidangan tahunan tersebut melihat Kuala Lumpur dipilih buat pertama kali sebagai tuan rumah penganjuran.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jenama LS2 telah berkembang rapi. Selain topi keledar (helmet), syarikat dari China tersebut sudah pun mula memasar barisan pakaian keselamatan untuk penunggang motosikal. Termasuk sekali adalah jaket, sarung tangan, seluar, kasut, dan aksesori-aksesori lain.
Semasa persidangan tahap rantau yang disebut tadi, produk-produk terbaru buat tahun 2026 daripada LS2 telah tampil. Koleksi baharu ini dijangka memasuki pasaran tempatan secara berperingkat bermula dari September 2026. Harga, spesifikasi penuh dan tarikh pelancaran akan diumumkan dari semasa, kata LS2 Malaysia.
Menarik sekali, LS2 Malaysia juga mengambil kesempatan untuk mendedah prestasi jualannya dalam pasaran tempatan. Untuk tempoh dari Julai 2025 hingga ke Jun 2026, jenama tersebut merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 58% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Julai 2024 ke Jun 2025).
LS2 Malaysia berkata kadar pertumbuhan positif tersebut sekali gus menjadi pencapaian terbaik sejak jenama itu mula beroperasi dalam pasaran tempatan. Ia juga mencerminkan penerimaan yang semakin kukuh terhadap produk-produknya dalam kalangan penunggang motosikal tempatan.
Pada masa sama, LS2 Malaysia telah merakamkan penghargaannya kepada pengedar, rakan niaga, pelanggan dan komuniti penunggang motosikal tempatan yang menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan jualan syarikat sepanjang tempoh berkenaan.
Dengan itu, LS2 Malaysia juga bertekad untuk terus memperkukuh jenamanya menerusi tawaran produk berkualiti tinggi dengan inovasi terkini serta perkhidmatan selepas jualan lebih baik bagi memenuhi keperluan penunggang motosikal di Malaysia.











