Kembali ke laman Tekan Habis
SUKAN PERMOTORAN

LOTUS EMEYA R CATAT REKOD EV TERPANTAS BAHARU DI SIC

14 Jul 2026
LOTUS EMEYA R CATAT REKOD EV TERPANTAS BAHARU DI SIC
1 / 7

Lotus Cars Malaysia telah umumkan sebuah pencapaian rekod tempatan baharu oleh salah satu model elektrik penuh (EV) jenama tersebut – Lotus Emeya. Tawaran EV ‘sports saloon’ tersebut kini bergelar sebagai EV terpantas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas ia berjaya rekodkan masa pusingan terpantas 2:20.317 minit.

Rekod ini dicipta oleh pelumba profesional Daniel Lu, seorang warganegara China yang berlumba untuk pasukan Absolute Racing dalam kejohanan GT World Challenge Asia, semasa satu sesi ‘Time Attack’ khas yang dianjurkan di SIC baru-baru ini oleh Lotus dengan sokongan pengedar tempatan – Karrus Automotive Group.

Turut hadir dan membantu dalam sesi khas ini adalah pelumba dan johan drift tempatan terkemuka Tengku Djan Ley. Sudah kian lama dikaitkan dengan jenama Lotus, Djan juga telah catatkan rekod masa EV terpantas di SIC pada tahun lepas dengan mengguna jentera Emeya Turbo – versi paling berkuasa bagi model Emeya sebelum ini.

Rekod baharu yang disebut tadi dicatatkan Lu mengguna Emeya R – varian paling berkuasa terbaru bagi barisan model tersebut. Ia mempunyai setup trenkuasa dwi-motor yang menghasil 95PS & 985Nm yang membolehkan varian Emeya R ini mencapai pecutan 0-100km/j dalam masa 2.8 saat dan kelajuan maksima 256km/h.

“Setiap Lotus direka khas ‘Untuk Pemandu’ (For The Drivers). Setiap keputusan kejuruteraan yang kami buat, daripada penalaan casis dan rasa stereng kepada aerodinamik dan penyampaian kuasa, tertumpu pada memberikan keyakinan, ketepatan dan pengalaman pemanduan yang lebih menarik,” terangkan Chong Yok Meng, pengarah kanan casis dan dinamik kenderaan di Lotus, yang mengetuai sesi ‘Time Attack’ ini.

“Rekod ini lebih daripada sekadar masa pusingan — ia mengesahkan falsafah kejuruteraan kami dan membuktikan bahawa elektrifikasi meningkatkan, bukannya menjejaskan, pengalaman pemanduan Lotus,” tambah Chong lagi.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis