Kembali ke laman Tekan Habis
SUKAN PERMOTORAN

LITAR SEPANG (SIC) BAKAL ANJUR PERLUMBAAN F1 GANTI BAHRAIN?

24 Jul 2026
Sumber: F1.com
Sumber: F1.com — Foto: F1.com

Menurut laporan sumber antarabangsa yang boleh dipercayai, perlumbaan Formula 1 (F1) mungkin kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun ini selepas dinamakan sebagai salah satu calon pengganti pusingan yang sepatutnya diadakan di Bahrain.

Pada mulanya, Grand Prix (GP) Bahrain sepatutnya dianjurkan pada bulan April sebelum ditangguhkan ke bulan Oktober susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Persoalan keselamatan yang semakin tidak menentu telah menyebabkan peluang Bahrain menganjurkan perlumbaan tersebut kini semakin tipis.  Pihak penganjur kejohanan F1 dilaporkan perlu mencari lokasi alternatif sebagai pengganti.

Keputusan mengenai nasib GP Bahrain bakal diumumkan sebelum cuti musim panas ini, manakala keputusan mengenai GP lain di rantau tersebut – khususnya Qatar dan Abu Dhabi – mungkin dibuat beberapa minggu lagi bergantung pada perkembangan semasa.

Sekiranya GP Bahrain dibatalkan, F1 dikatakan masih mahu mengekalkan slot perlumbaan pada hujung minggu tersebut untuk memastikan jumlah perlumbaan musim ini tidak berkurangan.

SIC tampil sebagai calon sesuai disebabkan tarikh GP Bahrain yang ditangguhkan, serta pergerakan logistik F1 pada masa itu – di antara GP Azerbajian di Baku pada penghujung bulan September dan GP Singapura pada awal Oktober.

SIC pernah jadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga ke 2017. Walaupun sering dipuji pelumba dan pasukan kerana layout yang mencabar, perlumbaan F1 di Malaysia dihentikan akibat kos yuran penganjuran yang semakin tinggi.

Sejak itu, peminat tempatan juga telah menyuarakan sokongan untuk mengembalikan acara tersebut yang kini telah mencapai populariti mainstream tertinggi pada masa ini, atas dorongan siri drama Drive To Survive di platform Netflix.

Kami juga boleh mengesahkan penganjuran semula F1 GP Malaysia adalah salah satu misi utama bagi Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif, sejak beliau memegang jawatan tersebut.

Walaupun peluangnya cukup baik, adakah ini suatu acara yang patut diusahakan oleh kerajaan Malaysia? Adakah kepulangan pelaburan, terutamanya untuk kos yuran penganjuran yang masih amat tinggi, yang bakal dijanakan berbaloi?

Penting sekali, apakah manfaat utama yang bakal diperolehi industri dan sektor sukan permotoran tempatan jika acara ini kembali dianjurkan semula di SIC? Apa yang pasti, situasi ini masih lagi berkembang, dan kami akan terus memantau.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis