Kia Sales Malaysia (KSM) terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia Timur. Baru-baru ini, jenama Korea tersebut telah rasmi membuka sebuah pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) baharu di Kuching, Sarawak.
Dikendalikan pengedar sah Heng Lian Enterprise Bhd, pusat 3S Kia baharu ini terletak di kawasan strategik di tengah bandar Kuching. Ia juga direka bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang jenama Kia di Sarawak.
Ini nyata melalui kelengkapan pusat 3S Kia tersebut yang bukan sahaja memenuhi keperluan pemilik model enjin pembakaran dalaman (ICE), malah ia juga sedia untuk menyokong kenderaan elektrik (EV), selari dengan hala tuju elektrifikasi jenama itu.
Tambah KSM dan Heng Lian Enterprise Bhd lagi, pusat 3S baharu ini dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM1.5 juta.
Sorotan utama termasuk ruang pameran seluas 4,796 kaki persegi yang boleh memuatkan sehingga tiga buah kenderaan, serta pusat servis yang dilengkapi dua ruang kerja yang mampu mengendalikan sehingga 260 kenderaan setiap bulan.
Selain itu, pemilik Kia yang sedang melalui penyelenggaraan, mahupun bakal pelanggan baharu yang singgah ke pusat ini turut disediakan ruang menunggu yang selesa dengan sambungan Wi-Fi percuma dan pantri dengan minuman dan makanan ringan.
Dengan penambahan terbaru ini di Kuching, Sarawak, KSM kini mempunyai 26 pengedar di seluruh Malaysia.



