TERKINI: Petunjuk yang diberi oleh Emily Lek, Pegarah Urusan Kia Sales Malaysia (KSM), semasa sesi temu-bual bersama kami baru-baru ini bukan tentang produk sahaja.
Awal hari ini, KSM telah umumkan pelantikan Cycle & Carriage (C&C) sebagai rakan pengedar terbaru dalam rangkaian mereka. Pelantikan ini disahkan melalui satu majlis tandatangan kerjasama yang dihadiri Hyung Ho Kim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KSM dan rakan sejawatannya dari Cycle & Carriage Malaysia iatu Adrian Short.
Melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan, dua-dua syarikat meneraskan fokus pada pengukuhan pengalaman pemilikan, serta meluaskan akses jualan dan sokongan selepas jualan pada pelanggan.
Butiran bagi rangkaian bilik pameran dan pusat servis jenama Kia bawah operasi C&C belum didedahkan, tetapi kami yakin syarikat tersebut tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk mendirikan ini.
Untuk imbas semula memori, C&C adalah satu syarikat khusus pengedaran automotif terkemuka tempatan yang ditubuhkan pada tahun 1899 – mereka sudah aktif beroperasi selama lebih 125 tahun! Selain Kia, portfolio jenama-jenama yang diedarkannya kini merangkumi Mercedes-Benz, Peugeot serta Leapmotor.




