Di KLIMS 2026, jenama kenderaan tenaga baharu TQ Wuling jelas memberi visinya untuk bergerak ke segmen yang lebih premium. Membuat tampilan sulungnya di luar negara China adalah TQ Wuling Huajing S.
Dipasarkan bawah jenama Baojun di China, Huajing S ini telah dihasilkan melalui satu kerjasama antara SAIC-GM-Wuling dan syarikat teknologi terkemuka Huawei. Malah, kerjasama ini yang memberi inspirasi bagi nama model Huajing S ini.
Huawei telah memain peranan penting dalam pembangunan dan reka bentuk keseluruhan model ini melalui program Huawei Inside (HI) Plus. Dari segi saiz, SUV mewah ini lebih kurang sama besar dengan Denza B8 dan Jaecoo J8.
Dari segi trenkuasa, SUV saiz penuh ini menggabungkan sebuah enjin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol dengan, bergantung pada varian, satu atau dua motor elektrik, pek bateri 31kWj atau 41.9kWj dari CATL, serta transmisi DHT automatik.
Setup ini mampu menghasil output setinggi 525PS & 620Nm untuk memacu semua roda (versi dwi-motor), dengan jarak gerak elektrik sahaja sekitar 100KM ke 160KM. Ia juga mampu menerima inpur pengecasan pantas DC setinggi 145kW.
Ciri-ciri premium dan mewah yang dilengkapi termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar 50 watt, sistem audio 15-speaker, dua bumbung suria, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi ottoman, pemanas, pengudaraan dan urut untuk dua baris tempat duduk hadapan, peti sejuk dengan fungsi pemanasan dan penyejukan, serta skrin hiburan bumbung 15.6 inci.
Tiada perancangan untuk lancarkan model ini diumumkan oleh TQ Wuling, tetapi ini bakal berubah bergantung pada sambutannya semasa di KLIMS 2026.






