Liputan kami dari KLIMS 2026 kini beralih ke Edaran Tan Chong Motor (ETCM) di mana pemasang dan pengedar jenama Nissan tersebut telah pratonton model Nissan X-Trail terbaru.
Menarik sekali, X-Trail generasi ke-empat ini kini mengguna teknologi trenkuasa Range Extended/Extended Range EV (REEV/EREV) yang dikenali sebagai e-Power – teknologi ini dikongsi bersama model Kicks dan Serena sekarang.
Menurut ETCM, X-Trail e-Power terbaru ini bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan pada suku akhir tahun ini. Kami juga difahamkan model ini akan dipasarkan sebagai model import penuh (CBU) dahulu sementara operasi pemasangan tempatan (CKD) dibangunkan oleh ETCM.
Buat masa kini, tiada harga anggaran diberi, tetapi kami ramal model ini bakal dijual pada harga kompetitif berbanding dengan pesaing sedia ada – antara RM140,000 hingga ke RM180,000, bergantung pada varian dan jenis atau pakej trenkuasa yang dilengkapi.
Varian yang dipamerkan di KLIMS 2026 adalah X-Trail e-4ORCE AWD yang menggandingkan enjin 1.5-liter 3-silinder turbo petrol bersama dua motor elektrik, serta pek bateri lithium-ion 1.8kWj. Setup ini menghasil 204HP (hadapan) & 139HP (belakang) serta tork keseluruhan setinggi 330Nm.
Penting sekali, trenkuasa EREV/REEV ini mampu memberi SUV segmen-C ini pecutan 0-100km/j dalam masa 7.0-7.2 saat. Kcekapan bahan api pula sangat tinggi juga dengan Nissan mendakwa jarak gerak maksima mencecah 1,000KM dengan setiap pengisian tangki penuh – sama seperti model Kicks dan Serena.
Selain trenkuasa tenaga baru canggih dan cekap, apa yang menarik juga adalah kabin yang luas dan praktikal siap dengan barisan tempat duduk barisan ketiga – satu ciri unik dan konsisten dari model X-Trail generasi sebelum ini.









