Selain Mazda CX-5 generasi ketiga baharu, Bermaz Motor juga mengambil kesempatan untuk mempamerkan dan umumkan ketibaan satu varian baharu bagi model Mazda CX-60 di KLIMS 2026.
Kini tersedia untuk pasaran Malaysia adalah Mazda CX-60 dalam varian 3.3G AWD, dan harga yang diumumkan untuk tawaran ini adalah RM252,872.80 tanpa insurans – sekitar RM52,362.40 lebih mahal dari varian 2.5G 2WD High yang dilancarkan tahun lepas.
Varian baru ini dilengkapi enjin 3.3-liter 6-silinder sebaris turbo petrol yang menghasil 284PS & 450Nm. Ia dilengkapi sistem separa hibrid (mild hybrid – MHEV) M-Hybrid Boost 48-volt, serta transmisi 8-kelajuan automatik dan pacuan semua roda (AWD).
Selain trenkuasa yang lebih besar dan berkuasa, spesifikasi lain seperti ciri-ciri mewah, serta teknologi dan tahap keselamatan yang dilengkapi dalam varian ini sama dikongsi dengan varian 2.5G 2WD High yang disebut tadi.
Anda boleh melihat varian baharu CX-60 ini bersama model CX-5 generasi terbaru ini di KLIMS 2026 yang masih berlangsung di MITEC, KL sepanjang minggu ini hingga ke Jun 21.









