KL International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) masih berlangsung sepanjang minggu ini di MITEC, KL. Awal hari ini, Hyundai Motor Malaysia (HMY) telah beri satu kejutan lewat – pratonton khas Hyundai Stargazer.
Tawaran MPV tiga baris segmen-B ini kini buka untuk tempahan, dan ia tersedia dalam tiga pilihan varian – Style, Prime dan X. Menarik lagi, harga anggaran tawaran import penuh (CBU) dari Indonesia ini juga sangat menarik di mana ia bermula dari sekitar RM99,000 (Style), RM109,000 (Prime) dan RM121,000 (X).
Varian X dilengkapi pelbagai kemewahan termasuk tempat duduk baris kedua ‘Captain Seat’ dengan balutan tempat duduk kulit tiruan. Selain itu, pakej ADAS Tahap 2, 6 beg udara, serta gabungan paparan meter dan skrin sentuh infotainmen – masing-masing berukur 10.25-inci – dikongsi sama bagi varian Prime dan X.
Varian Style pula diposisikan sebagai varian paling mampu milik, dan ini nyata melalui kelengkapannya yang agak asas – tiada ADAS, cuma 2 beg udara, panel meter analog 4.2-inci dengan panel multimedia 8-inci, dan juga balutan tempat duduk fabrik. Apa yang dikongsi varian Style dan Prime adalah kofigurasi 7 tempat duduk.
Dari segi mekanikal, semua varian Stargazer kongsi nadi 1.5-liter 4-silinder petrol Smartstream MPI yang dipadankan dengan transmisi ‘iVT’ (jenis CVT automatik). Setup ini memacu roda hadapan dengan output 115PS & 144Nm.









