Di KLIMS 2026, Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) bukan sahaja pamerkan model Zeekr X versi kemaskini terbarunya, jenama tersebut juga menampilkan dua tawaran saiz besar ultra-mewah baharu.
Kami mula dengan Zeekr 9X dan SUV tenaga baharu ultra-mewah tiga-baris ini sudah buka untuk tempahan dengan harga anggaran bermula dari sekitar RM800,000 – tawaran ini bakal menjadi model termahal dari jenama tersebut apabila ia rasmi dilancar nanti.
Berasaskan platform SEA-S dengan sistem elektrik 900-volt, SUV mewah ini mengguna nadi plug-in hybrid (PHEV). Bergantung pada varian, pakej ini menggabungkan sebuah enjin 2.0-liter petrol turbo bersama beberapa motor elektrik (maksima tiga) dan pek bateri 55kWj atau 70kWj untuk menghasil output setinggi 1,400PS & 1,410Nm.
Trenkuasa tersebut menjanji prestasi yang cukup tinggi dengan pecutan 0-100km/j sepantas 3.1 saat sahaja. Penting sekali, ia juga menjanji kecekapan tenaga tahap tinggi dengan jarak gerak maksima gabungan petrol-eletrik sehingga 1,015KM. Ia juga mampu sokong pengecasan pantas DC yang bolehkan pengecasan 20-80% dalam 9 minit.
Bagi model 009 Grand pula, ini adalah tambahan varian baharu bagi barisan MPV elektrik-penuh ultra-mewah ini yang mempunyai konfigurasi dua barisan tempat duduk yang lebih mewah – varian lain mempunyai tiga barisan. Tempahannya juga sudah buka kini dengan harga yang jangka bermula dari sekitar RM600,000.
Antara ciri-ciri ultra-mewah menarik yang dilengkapi termasuk dinding pemisah khas, paparan skrin infotainmen dan hiburan LED 43-inci, tempat duduk barisan kedua eksklusif yang mampu bersaing dengan apa yang tersedia dalam tempat duduk kelas pertama pesawat penerbangan komersial.








