Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

KIA MALAYSIA & STELLANTIS MALAYSIA JALIN KERJASAMA CKD DI GURUN

09 Jun 2026
KIA MALAYSIA & STELLANTIS MALAYSIA JALIN KERJASAMA CKD DI GURUN

Kia Malaysia telah mengumum ia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Stellantis Malaysia bagi operasi pemasangan tempatan (CKD) model-modelnya yang akan datang.
Menurut siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan, kerjasama ini melihat Stellantis Malaysia berperanan sebagai pemasang kontrak bagi operasi CKD jenama Kia di fasiliti pembuatan miliknya yang terletak di Gurun, Kedah.

Kia Malaysia lagi tambah kerjasama dengan Stellantis Malaysia ini akan memanfaatkan ekosistem rantaian bekalan automotif Malaysia, dan membolehkan jenama tersebut mengukuhkan lagi kedudukannya, memperluaskan penampilannya dalam pasaran tempatan, dan memperkukuhkan lagi kualiti pembuatan dan persediaan untuk memperkenalkan model-model baharu pada masa hadapan.

Operasi CKD Kia melalui fasiliti Stellantis Malaysia bakal bermula pada suku ketiga tahun ini. Setakat ini, kilang milik Stellantis tersebut mempunyai lebih dari 400 orang tenaga kerja. Model-model utama yang akan dihasilkan disini termasuk tawaran sedia ada seperti MPV Carnival dan C-SUV Sportage yang setakat ini masih lagi dihasilkan melalui kerjasama sedia ada bersama Inokom di Kulim, Kedah.
“Kolaborasi ini merupakan satu pencapaian penting dalam strategi Kia untuk ‘Return, Rebuild, and Reposition’ kedudukan Kia di Malaysia,” kata Presiden dan CEO Kia Malaysia serta Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim.

“Melalui pembangunan berterusan dan penggunaan keupayaan fasiliti Stellantis di Gurun, kami kekal komited untuk menyokong ekosistem automotif dan pembuatan yang lebih luas sambil mewujudkan nilai bersama kepada rakan kongsi, pembekal dan industri,” tambah Pengarah Urusan ASEAN Stellantis, Isaac Yeo pula.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis