Kadar pengecasan EV ditentukan sepenuhnya oleh pengendali stesen pengecas, dan kerajaan tidak menetapkan sebarang mekanisme kawalan harga bagi perkhidmatan tersebut, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pendekatan ini bertujuan menggalakkan penyertaan sektor swasta dan persaingan sihat dalam penyediaan perkhidmatan, sekali gus mempercepatkan peluasan rangkaian pengecasan awam, kata MITI dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, semalam.
MITI juga berkata walaupun kadar caj perkhidmatan ini tidak dikawal, pembangunan dan pengoperasian masih tertakluk kepada keperluan kawal selia, standard teknikal dan aspek keselamatan yang dikuatkuasakan oleh MITI, Suruhanjaya Tenaga (ST), dan pihak berkuasa tempatan.
Kementerian itu juga berkata terdapat dua mekanisme utama dalam pembangunan ekosistem EV, dan dipantau melalui Mesyuarat Pasukan Petugas EV Kebangsaan yang dipengerusikan oleh MITI dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 6,416 unit pengecas EV awam telah dipasang, dengan 33.4 peratus pengecas pantas DC, dan 66.6 peratus pengecas AC.
— Sumber: Bernama
