Kembali ke laman Tekan Habis
UMUM

KERAJAAN SASAR MEKANISME PAMPASAN MANGSA KEMALANGAN JALAN RAYA

19 Jul 2026
KERAJAAN SASAR MEKANISME PAMPASAN MANGSA KEMALANGAN JALAN RAYA
1 / 3

Kami difahamkan bahawa kerajaan telah bersetuju secara dasar untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris terdekat mereka dalam kes kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian atau kecederaan parah.

Semasa di Dewan Rakyat, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bawah pindaan yang dicadangkan, mahkamah akan diberi kuasa untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan serius di bawah akta itu untuk membayar pampasan kepada mangsa atau waris terdekat mereka berdasarkan fakta dan merit setiap kes.

Loke juga berkata antara faktor yang perlu dipertimbangkan ialah tahap kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang dialami dan kemampuan pesalah untuk membayar.

 "Ini mencerminkan komitmen kerajaan bahawa pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya dan perlumbaan haram tidak akan dianggap sebagai pesalah trafik biasa. Sebaliknya, mereka akan menghadapi tindakan undang-undang yang paling berat yang sepadan dengan keadaan kes tersebut," tambah Loke lagi.

Beliau juga berkata kementerian akan mengadakan libat urus bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperincikan kategori kecederaan yang layak dipertimbangkan untuk pemberian pampasan. Ini termasuk kecederaan serius, kecederaan ringan serta kategori lain yang bersesuaian.

Penting sekali, Loke juga tegas mekanisme yang dicadangkan juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil mengikut saluran perundangan sedia ada.

Beliau turut jelaskan mekanisme pampasan itu hanya akan terpakai selepas pindaan Akta 333 berkuat kuasa. Apabila pindaan ini diluluskan Parlimen, hanya pesalah yang melakukan kesalahan selepas tarikh kuat kuasa boleh dikenakan peruntukan baharu, manakala kesalahan yang berlaku sebelum itu tidak terlibat.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis