Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

Kerajaan Masih Merangka Formula Lebih Adil Kiraan OMV

24 Jul 2026
Gambar fail
Gambar fail

Formula yang lebih adil bagi mengira nilai pasaran terbuka (OMV) atau harga pemasangan kenderaan tempatan (CKD) sedang dibangunkan oleh kerajaan, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Nor.

Beliau juga berkata formula di bawah Perintah Kastam PU(A) 402/2019 dan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) belum dikuatkuasakan tahun ini.

Sebelum ini, penguatkuasaan PU(A) 402 dilaporkan telah dilanjutkan kepada Januari 2027.  Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Ghani juga dilaporkan telah memberitahu media bahawa NCM juga bakal diumumkan pada tahun 2027, bagi memberi masa rundingan antara kerajaan dan pihak industri.

"Kami mempunyai pengeluar peralatan asal (OE) yang mengendalikan perniagaan dengan cara berbeza, jadi satu kaedah pengiraan mungkin tidak sesuai untuk semua.

"Oleh itu, kami menyerahkan kepada kerajaan untuk merangka formula berkenaan. Namun, kami telah diberi jaminan bahawa kesannya adalah minimum atau tiada langsung, dan apabila formula itu dimuktamadkan, industri akan diberi tempoh yang mencukupi untuk melaksanakannya," kata Shamsor semasa sidang media MAA awal minggu ini.

Mengenai NCM, Mohd Shamsor berkata MAA telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan MITI serta agensinya, yang disifatkan sebagai positif dan membina.
Beliau berkata hasil libat urus berterusan itu, industri diberikan tempoh tangguh tambahan selama enam bulan bagi pelaksanaan mekanisme berkenaan.

"Libat urus lanjut akan diteruskan dan kami berharap dapat mencapai kata sepakat supaya industri terus beroperasi secara mampan, di samping memenuhi objektif kerajaan untuk keseluruhan ekosistem automotif," katanya.

— Sumber Berita: Bernama

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis