Kembali ke laman Tekan Habis
UMUM

KEMPEN SERVIS IHSAN MADANI @ PROTON 2026 DILANCARKAN

19 Aug 2026
KEMPEN SERVIS IHSAN MADANI @ PROTON 2026 DILANCARKAN
1 / 5

Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan datang, Proton telah rasmi melancarkan kempen servis khas yang akan berlangsum selama sebulan. Dikenali sebagai Kempen Servis Ihsan Madani @ Proton 2026, ia akan berlangsung selama sebulan dari 17 Ogos hingga 17 September.

Menurut Proton, kempen ini akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Kerjasama strategik ini selari dengan inisiatif kos sara hidup oleh kerajaan untuk menyediakan penyelenggaraan kenderaan yang berpatutan kepada rakyat.

Inisiatif ini ditawarkan oleh semua pusat servis 4S, 3S dan 2S sah Proton di seluruh negara. Tambah Proton lagi, inisiatif ini direka khas untuk membantu mengurangkan kos pemilikan kenderaan, khususnya bagi pemilik Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga.

Pertama sekali, pemilik Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga, Proton yang layak  akan menerima diskaun RM70 serta-merta atas caj perkhidmatan asas atau dari jumlah keseluruhan invois (tertakluk kepada terma dan syarat).

Kedua, pemilik model-model tersebut yang layak juga akan diberi pemeriksaan 40-titik percuma. Pemeriksaan ini meliputi komponen kenderaan utama, dan ia bertujuan untuk membantu mengenal pasti potensi masalah serta memastikan kenderaan kekal dalam keadaan operasi yang selamat dan optimum.

“Tanggungjawab kami kepada pelanggan melangkaui sekadar jualan kenderaan baharu semata-mata. Kami komited untuk menyokong sepanjang perjalanan pemilikan mereka dengan menyediakan perkhidmatan lepas jualan yang mudah diakses, boleh dipercayai dan berasaskan nilai,” kata ketua pegawai eksekutif Proton Edar, Datuk Abdul Rashid Musa.

Beliau juga menjelaskan bahawa inisiatif ini memperkukuh komitmen Proton untuk meletakkan pelanggan sebagai teras perniagaannya, di samping menyokong usaha negara untuk menangani peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Pelanggan yang ingin servis kenderaan mereka semasa tempoh kempen ini digalakkan membuat temu janji terlebih dahulu sebelum mengunjungi pusat servis sah Proton pilihan mereka.

Temu janji boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih Proton Link 2.0, atau dengan mengimbas kod QR kempen rasmi yang disedia dalam galeri imej di atas untuk memuat turun aplikasi dan mengakses perkhidmatan lepas jualan yang tersedia.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis