Walaupun ekspo Malaysia Bike Show 2026 (MBS 2026) telahpun menutup tirainya semalam, kami masih ada beberapa benda menarik yang kami masih boleh lapor.Selain melancar tiga model utama versi kemaskini tahun 2026, Modenas Kawasaki juga sempat pratontonkan satu lagi model baharu iatu model Kawasaki KLE 500.
Pameran model jenis adventure dual-sport saiz pertengahan (middleweight) baharu ini merupakan tampilan sulungnya di Malaysia adalah salah satu kejutan senyap dari MBS 2026.Seperti adik kecilnya Versys-X 250, model ini mengguna nadi dua-silinder sebaris yang dilengkapi dalam casis rangka teralis keluli, serta set roda berjejari (spoked wheels) bersaiz 21-inci di hadapan dan 17-inci (belakang). Nadi tersebut mempunyai kapasiti lebih besar 451cc yang menjana 51HP dan 42.6Nm.
Pihak Modenas Kawasaki enggan memberi sebarang maklumat tentang rancangannya untuk model ini, tetapi kami jangka pelancaran rasminya akan berlaku tidak lama lagi –mungkin suku ketiga paling awal. Sumber dalaman syarikat tersebut juga beritahu kami jangkaan mereka model ini bakal ‘meletup’ dari segi jualan selepas dilancar nanti.
Kami syak sangkaan itu akan didorong oleh status pemasangan tempatan (CKD) serta tanda harga yang berpatutan, tetapi perkara ini kami tidak boleh sahkan lagi buat masa ini. Sebagai satu penanda aras, pesaing utamanya, Honda NX500, kini dipasarkan dengan harga asas RM37,099 tanpa insurans dan tambahan aksesori lain.




