Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

Jualan Automotif Dijangka Kukuh Pada Separuh Kedua 2026 - Kenanga IB, CGSI

24 Jul 2026
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Jualan automotif di dalam negara dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2026 (2H2026), didorong pemasangan tempatan kenderaan elektrik (EV) dan permintaan bagi kenderaan hibrid.

Kenanga Investment Bank (Kenanga IB) berkata di dalam satu nota, unjuran bagi jumlah keseluruhan industri (TIV) telah dinaikkan kepada 800,000 unit daripada 790,000 unit sebelum ini, selaras dengan unjuran oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) - berikutan jualan EV yang lebih baik walaupun dasar kerajaan mengenai segmen itu telah diperketatkan.

Sebanyak 26,192 unit EV telah dijual pada separuh pertama, susulan usaha pengeluar global mengosongkan stok CBU dan beralih kepada pemasangan tempatan (CKD).

Manakala jualan kenderaan hibrid kekal teguh dengan jumlah 25,590 unit dan dijangka meningkat pada 2H2026, susulan pelancaran Proton e.MAS 7 PHEV pada awal tahun ini.

Kenanga IB juga berkata TIV pada tahun ini meliputi trend diskaun dan rebat, hasil dari strategi pemasaran pengeluar kereta, peraturan baharu duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV) yang bakal dilaksanakan berperingkat dari Januari 2027, serta cukai berkenaan EV yang dikuatkuasakan oleh MITI pada 1 Julai lalu. 

Nota itu juga berkata peningkatan pemasangan oleh jenama dari China, permintaan berterusan bagi kenderaan mampu milik, dasar pinjaman sewa beli baharu dan pasaran buruh yang stabil, serta barisan model baharu juga bakal menyumbang kepada TIV pada tahun 2026.

Pada masa yang sama, CGS International (CGSI) menaikkan unjuran TIV 2026 daripada 755,000 kepada 780,000 - berdasarkan jangkaan aktiviti promosi untuk menyokong momentum jualan 2H2026.

Awal minggu ini, MAA telah melaporkan TIV 1H2026 telah meningkat sebanyak 3 peratus kepada 385,353 unit.

— Sumber: Bernama

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis