Omoda | Jaecoo Malaysia sedang Bersiap sedia untuk lancarkan tawaran elektrik penuh (BEV) pertamanya untuk pasaran Malaysia iaitu Jaecoo J5 EV. Semalam, EV SUV ini tampil dipratontonkan di Oh My Meow Expo 2026 di Mid Valley Exhibition Centre.
Dari segi visual, apa yang membezakan versi EV ini dari kembar versi enjin pembakaran (ICE) yang disebut nyata melalui rekaan grille hadapannya – versi EV ini diberi rekaan grille hadapan lebih nipis yang juga tertutup (tipikal buat mana mana EV).
Berasaskan model J5 yang telah rasmi dilancarkan awal tahun ini, kembar versi EV ini pula dilengkapi motor elektrik hadapan yang menjana 211PS & 288Nm untuk memacu roda hadapannya. Motor tersebut dikuasai pek bateri jenis LFP 58.9kWj buatan CATL yang menjanjikan jarak gerak WLTP 402KM, serta sokongan untuk pengecasan AC 11kW, pengecasan DC pantas 130kW (30-80% dalam 28 minit), serta fungsi V2L.
Versi pasaran Malaysia berlainan dari versi pasaran Indonesia. Di republik tersebut, Jaecoo J5 EV yang dipasang secara tempatan (CKD) di sana mengguna pek bateri buatan Gotion yang berkapasiti lebih besar (60.9kWj). Malah, versi untuk pasaran Malaysia yang juga akan dihasilkan melalui operasi CKD Omoda | Jaecoo Malaysia di Shah Alam dikongsi bersama versi pasaran Eropah dan Australia.
Salah satu ciri menarik yang dilengkapi model ini adalah balutan tempat duduk kulit tiruan yang Omoda | Jaecoo Malaysia dakwa sebagai mesra-haiwan peliharaan (pet-friendly). Inilah salah satu sebab utama jenama tersebut memilih untuk pratontonkan tawaran ini di ekspo kucing yang disebut tadi yang sedang berlangsung minggu ini dari Julai 9 hingga ke Julai 12.
Selain itu,model J5 EV ini juga mirip seperti kembar versi ICE di mana ia kongsi kelengkapan utama lain yang sama termasuk paparan meter dan infotainment skrin sentuh digital, pakej bantuan pemanduan (ADAS) bertaraf Level 2+, serta ciri-ciri kemewahan asas lain.
Harga, mahupun tarikh pelancaran rasmi buat model ini belum diumumkan, tetapi kami difahamkan sasaran jenama tersebut adalah untuk melancarkan model ini dalam suku ketiga (Q3) tahun ini. Sebagai rujukan, model Jaecoo J5 versi ICE kini berharga RM108,000 (tanpa insurans) sebelum apa-apa promosi rebat atau tambah-nilai.







