Menjelang hujung minggu lepas, Omoda | Jaecoo Malaysia telah rasmi umumkan bahawa Jaecoo J5 EV kini sudah buka untuk tempahan. EV SUV tersebut boleh ditempah melalui pengedar sah pada harga anggaran RM125,000.
Angka tersebut melihat model ini berdiri RM17,000 lebih mahal dari ‘kembar’ petrolnya – Jaecoo J5 – yang dilancar pada bulan Mac lalu. Versi EV ini juga telah dipratotonkan sub-jenama premium naungan Chery Corporate Malaysia awal bulan ini.
Dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam, Selangor, model EV SUV ini dilengkapi sebuah motor elektrik hadapan yang menghasil 211PS & 288Nm untuk memacu roda hadapan. Motor tersebut dikuasai pek bateri jenis LFP 58.9kWj buatan CATL.
Pek tersebut menjanjikan jarak gerak WLTP 402KM, serta sokongan untuk pengecasan AC 11kW, pengecasan DC pantas 130kW (30-80% dalam 28 minit), serta fungsi V2L pada kadar 3.3kW.
J5 EV ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Alpine Green, Fjord Grey dan Carbon Crystal Black.




