Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) baru-baru ini mengumumkan ia kini antara tunggak penting perniagaan automotif Sime Darby Berhad (Sime) melalui kilang pemasangan kenderaan (CKD) miliknya sebesar 200 ekar yang terletak di Kulim, Kedah.
Sudah beroperasi hampir tiga dekad, Inokom mula operasi sejak 1997. Syarikat ini dimiliki majoriti Sime Motors (51%), manakala saham utama lainnya dipegang Sime Darby Hyundai (5%), Hyundai Motor Company (15%) dan Bermaz Auto (29%).
Syarikat pemasangan automotif kontrak terkemuka tempatan ini juga giat memasang kenderaan unutk tujuh jenama – BMW, MINI, Porsche, Mazda, Chery, dan Hyundai. Termasuk sekali adalah jenama Kia, tetapi operasinya akan berpindah ke Stellantis di Gurun, Kedah, tidak lama lagi.
Kembali ke Inokom, kilang ini lengkap dengan kemudahan bersepadu untuk menghasilkan sebuah kenderaan lengkap. Ini termasuk fasiliti kimpalan badan kenderaan (Body Shops), fasiliti cat (Paint Shops), fasiliti pemasangan (Assembly Shops) dan Gudang Pusat (Centralised Warehouses).
Inokom tambah operasi setiap fasiliti ini dikendali lebih 2,700 kakitangan mahir yang terdiri dari 100% warga Malaysia. Kilang ini juga memain peranan aktif menyokong rantaian bekalan automotif Malaysia, membolehkan 370 vendor tempatan – termasuk perusahaan bumiputera – menyertai rantaian bekalan globalnya.
Untuk mengukuhkan lagi operasi, Inokom bakal mendirikan kemudahan cat serba maju baharu di kilang ini. Tambahan tersebut dijangka akan membolehkan syarikat tersebut beri tumpuan kepada wawasannya untuk menjadi rakan automotif pilihan utama di rantau ASEAN.
Ininyata melalui peningkatan ketara tahap pengeluaran yang direkod Inokom. Tahun lepas (2025), lebih dari 31,800 unit telah dihasilkan Inokom, dan lebih dari 24,500 unit dari jumlsh itu telah dieksport ke pasaran serantau. Untuk perbandingan, pengeluaran Inokom pada 2021 berjumlah sebanyak 20,500 unit.





