Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

Industri Disaran Labur Keuntungan Dalam R&D - Sim

23 Jul 2026
Sumber gambar: FB MITI
Sumber gambar: FB MITI

Kilang dan pemain industri disaran memanfaatkan keuntungan dari prestasi perdagangan negara tahun ini dengan melabur semula keuntungan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi dan pembangunan bakat, kata Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin. 

“Saya ingin memberi nasihat kepada pengeksport, pemilik kilang dan pemain industri supaya memanfaatkannya dan seterusnya menaik taraf perniagaan mereka. Ini kerana tahun ini adalah tahun yang sangat baik dan mereka menjana keuntungan", kata Sim kepada pemberita selepas merasmikan EMAX 2026 semalam.

Beliau mengulas mengenai prestasi perdagangan Malaysia yang menunjukkan momentum kukuh pada separuh pertama 2026, dan menegaskan keuntungan yang diperoleh wajar dilaburkan semula, dan tidak hanya dinikmati kesemuanya, bagi bersedia untuk kitaran seterusnya, dan tidak boleh berfikiran jangka pendek.

Katanya, Malaysia memiliki tenaga kerja mahir termasuk jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), jurutera pembuatan dan tenaga teknikal yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

“Malaysia kini berada pada kedudukan yang kukuh dalam sektor E&E hasil ekosistem industri yang lengkap merangkumi rantaian bekalan daripada huluan hingga hiliran, sekali gus menjadi antara faktor utama menarik minat pelabur global,” katanya

Sim turut menggalakkan golongan jurutera tempatan yang mempunyai idea dan kepakaran supaya berani menceburi bidang keusahawanan, khususnya dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai geran dan bantuan kepada syarikat pemula niaga, sekali gus menjadikan tempoh pertumbuhan AI ketika ini sebagai masa yang sesuai untuk membangunkan syarikat teknologi tempatan.

-- Sumber: Bernama

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis