Awal minggu ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah rasmi perkenalkan 2026 Yamaha Ténéré 700 versi naik taraf baharu - sebuah jentera adventure touring dual-purpose yang dibina khusus buat mereka yang gemar tunggangan eksplorasi tanpa had.
Penambahbaikan dan perubahan penting versi terbaru ini termasuk peralihan ke sistem Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) yang menjanji respon pendikit lebih lancar dan tepat, pilihan mod tunggangan SPORT dan EXPLORER, fork hadapan 43MM dan penyerap hentak belakang ‘Monocross’ boleh laras, tiga mod ABS, Traction Control System (TCS) yang boleh dihidup atau dimatikan, paparan meter digital TFT 6.3-inci, pencahayaan LED penuh, dan banyak lagi.
Dari segi trenkuasa, Ténéré 700 ini mengguna nadi signatur Yamaha CP2 dua-silinder berkapasiti 689cc yang menghasil 73PS & 68Nm. Enjin ini dipadan dengan transmisi 6-kelajuan dan pacuan rantai. Ciri-ciri lasak yang lengkap pada jentera ini juga termasuk rim jenis ‘spoke’ 21-inci (depan) dan 18-inci (belakang). Memang sah, ini adalah sebuah motosikal ‘dua-alam’ yang sedia menaruh perjalanan jauh atas jalan dan juga kembara lasak di luar jalan raya.
Menarik sekali, tidak seperti versi sebelum ini, Yamaha Ténéré 700 terbaru sekali ini ditawarkan pada harga baharu yang lebih rendah - RM58,998 (asas, tanpa insurans & cukai jalan). Termasuk disini juga adalah jaminan waranti selama 2-tahun atau 20,000KM.
