Berita baik buat bakal pembeli kereta baharu tempatan, terutamanya mereka yang sedang mempertimbangkan Perodua Axia generasi kedua baharu (DNGA) sebagai satu pilihan. Awal hari ini, Perodua telah umumkan semakan harga bagi model tersebut.
Melalui siaran akhbar rasmi, syarikat yang bertapak di Rawang itu telah umum bahawa harga jualan model tersebut telah dikurangkan. Bergantung pada varian, kadar pengurangan harga ini adalah sebanyak RM500 ke RM4,700.
Menarik sekali, varian Axia 1.0G khususnya telah diberi nikmat pengurangan harga terbesar sekali. Dengan itu, varian tersebut terus kekal tampil sebagai kereta kompak baharu paling mampu milik dalam pasaran tempatan.
Harga jualan baharu Perodua Axia bermula bulan Ogos ini kini bermula dari serendah RM33,900 di Semenanjung Malaysia, atau RM35,900 di Sabah dan Sarawak. Anda boleh lihat angka pengurangan dan harga jualan baharunya dalam visual yang disediakan.
Selain semakan harga ini, Perodua juga sahkan tiada perubahan spesifikasi dilakukan untuk membolehkan pengurangan harga ini. Pakej tren kuasa yang merangkumi nadi1.0-liter 3-silinder petrol dan padanan transmisi automatik CVT untuk semua varian masih kekal.
Selain itu, tahap kelengkapan, terutamanya ciri-ciri keselamatan, juga tidak berubah. Ciri-ciri bantuan pemanduan (ADAS), khususnya fungsi-fungsi Perodua Smart Drive Assist (PDSA), masih lagi dilengkapkan secara eksklusif bagi varian Axia 1.0 AV
“Semakan semula harga ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad.
"Penentuan harga baharu ini juga mencerminkan usaha berterusan kami untuk meningkatkan lagi keberkesanan operasi kami, yang turut diterjemahkan kepada pengurangan kos perkhidmatan dan semakan semula penetapan harga untuk tawaran QV-E dan Bateri sebagai Perkhidmatan (BaaS)," tambah beliau lagi.
Walaupun tidak disebut, varian Perodua Axia 1.0E MT yang berasaskan versi generasi sebelum ini, atau lebih dikenali sebagai ‘Axia Rahmah’, masih lagi tersedia menurut apa yang dipaparkan di laman web rasmi Perodua.
Varian ini kekal tersedia dengan harga jualan asas RM22,000, sekali gus terus kekal sebagai kereta baharu paling mampu milik yang masih terjual dalam pasaran tempatan.




