Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

HARGA 2026 VOLKSWAGEN TAYRON R-LINE DIUMUMKAN – DARI RM237,490

13 Aug 2026
HARGA 2026 VOLKSWAGEN TAYRON R-LINE DIUMUMKAN – DARI RM237,490
1 / 9

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah rasmi umumkan harga bagi salah satu tawaran terbaharunya iaitu 2026 Volkswagen Tayron R-Line. Bagi varian SUV tiga-baris ini, harga asasnya bermula dari RM237,490 tanpa insurans.

Seperti biasa, angka tersebut naik ke RM250,074 (tanpa insurans) jika pembeli memilih Volkswagen Assurance Package (VAP). Pakej ini membawa jaminan waranti pengeluar, program servis, serta bantuan tepi jalan selama 5 tahun bagi kesemuanya.

Dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang, varian R-Line ini berbeza dari varian Elegance yang dilancar dahulu bulan lepas. Khususnya, varian ini diberi pakej tren kuasa yang berprestasi lebih tinggi, serta kelengkapan tambahan lebih premium dan sporty.

Bermula dengan spesifikasi mekanikal, Tayron R-Line dipacu nadi 2.0-liter 4-silinder turbo petrol yang menjana 265PS dan 400NM. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac DSG 7-kelajuan, serta sistem pacuan semua roda (AWD) 4MOTION.

Selain itu, Tayron R-Line turut dilengkapi Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro) dengan penyerap hentak dua injap boleh laras yang sentiasa menyesuaikan tetapan sistem gantungan mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan untuk mendapatkan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian.

Dari segi estetik, Tayron R-Line juga kemasan sporty R-Line yang merangkumi rekaan bampar hadapan, belakang dan skirt sisi, lampu belakang 3D LED dengan lampu isyarat dinamik, rim aloi York 20-inci warna hitam, serta pakej lampu hadapan IQ.LIGHT HD Matrix canggih siap dengan kawan high-beam.

Beralih ke ruang kabin, varian R-Line ini dilengkapi tempat duduk hadapan ergoActive Plus yang dibalut kulit Varenna, serta fungsi larasan elektrik 12-hala, pengudaraan, dan fungsi urutan pneumatik menggunakan 10 kusyen udara. Khas bagi varian ini juga adalah sistem audio 10+1 speaker Harman Kardon dengan output 700 watt.

Ciri-ciri lain yang dilengkapi termasuk sistem air-cond tiga-zon,  lampu ambien 30-warna, paparan meter digital 10.25-inci dengan paparan head-up display (HUD) buat pemandu, serta paparan infotainmen Discover Pro Max 15-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan sistem pengecaman suara.

Dari segi keselamatan, SUV tiga-baris premium ini juga tampil dilengkapi pakej bantuan pemanduan (ADAS) penuh IQ.DRIVE yang memberi kebolehan panduan separa autonomi Tahap 2+.

Akhir kata, VPCM juga mengesahkan unit pameran 2026 Volkswagen Tayron R-Line bakal tiba di lantai pengedar sah mulai hari ini (13 Ogos 2026).

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis