Hab Pengangkutan LaLaport (LTH) dilancarkan oleh Mitsui Shopping Park LaLaport BUKIT BINTANG CITY CENTRE (LaLaport BBCC) hari ini.
Hab yang bertempat di tingkat LG1 kompleks beli belah LaLaport ini dilengkapi 11 hentian bas, ruang menunggu berhawa dingin, kaunter fizikal dan mesin layan diri, serta sistem paparan maklumat bagi penumpang melihat jadual bas secara masa nyata.
LaLaport BBCC mengintegrasikan pelbagai pilihan mobiliti, melalui hubungan kepada rangkaian pengangkutan awam (LRT Hang Tuah dan stesen monorel) bagi melengkapkan sambungan kepada sistem bas di LaLaport. Selain itu, penumpang juga boleh menggunakan perkhidmatan ulang alik on-demand Boleh-boleh Ride untuk pergi ke destinasi di dalam Kuala Lumpur, atau menggunakan perkhidmatan e-hailing di pintu masuk Pudu atau Hang Tuah.
Lebih kurang 30 operator bas akan menjadikan KTH sebagai pusat transit utama, khusus bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura. LTH juga menyediakan perkhidmatan van ulang alik ke Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Kuala Lumpur bagi yang memerlukan hubungan alternatif ke KLIA.
Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Masayoshi Saito berkata LTH diinspirasikan oleh hab pengangkutan berintegrasi di Jepun, seperti Tokyo Midtown Yaesu dan juga Tsukiji (yang sedang dalam pembangunan) berasaskan konsep integrasi hab pengangkutan, runcit dan kelengkapan gaya hidup di dalam satu lokasi.
LTH dioperasikan oleh Asia Success Resources Sdn. Bhd. (ASR), yang sebelum ini menjadi operator hab pengangkutan di KLIA Terminal 2. LTH dibangunkan melalui perkongsian dengan Semba Corportation.
LTH dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.







