Ferrari Malaysia telah kembangkan lagi barisan model tempatannya minggu ini. Rasmi dilancar minggu ini adalah model terbarunya iatu 849 Testarossa.
Pengganti bagi model SF90 ini tiba dalam versi coupe dan versi Spider. Ia mengguna nadi 4.0-liter V8 twin-turbo plug-in hybrid (PHEV) yang diposisikan di bahagian tengah casis, dan ia digandingkan dengan tiga motor elektrik bersama pek bateri lithium ion 7.45kWj.
Enjin V8 tersebut mampu menghasil 819HP & 842Nm, manakala output keseluruhan dengan tambah kuasa elektrik adalah 1,036HP (1,050PS). Nadi ini dipadankan dengan transmisi F1-DCT 8-kelajuan serta pacuan semua roda (AWD) prestasi tinggi canggih.
Dari segi prestasi, pakej ini membolehkan pecutan 0-100km/h dalam 2.3 saat, serta 0-200km/j dalam 6.3 saat sebelum mencecah kelajuan maksima lebih daripadi 330km/j. Ia juga mempunyai jarak gerak elektrik sahaja sejauh 25KM.
Ciri-ciri prestasi tinggi canggih lain yang dilengkapi juga termasuk sistem ABS Evo generasi ke-lima, Ferrari Integrated Vehicle Estimator (FIVE), serta teknologi aerodinamik aktif – semuanya datang dari pengalaman jenama ini dalam dunia sukan permotoran.
Tipikal dengan mana-mana tawaran secanggih dan sekhusus ini, harganya memang keras. Tanpa cukai dan apa-apa tambahan pilihan, versi 849 Testarossa coupe bermula dari RM2,188,000 manakala versi Spider pula bermula dari RM2,368,000.
Dengan cukai serta tambahan pilihan minimum, harga masing-masing naik ke RM5,200,000 dan RM5,700,000 tanpa insurans.




