Satu lagi perkembangan menarik telah berlaku di kilang pemasangan tempatan (CKD) kenderaan milik EP Manufacturing Bhd (EPMB) yang terletak di Pegoh, Melaka.
Semalam, jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) premium Xpeng dedah melalui laman sosial rasmi miliknya bahawa tawaran model EV SUV global popularnya iatu Xpeng G6 sudah mula CKD di kilang tersebut oleh syarikat tempatan itu.
Ini adalah perkembangan susulan daripada pengumuman awal yang dibuat jenama naungan China tersebut di Bursa Malaysia pada Disember lalu. Pada ketika itu, EPMB diumumkan sebagai rakan pemasangan kontrak buat jenama tersebut.
Model Xpeng G6 buat masa kini dipasarkan sebagai unit import penuh (CBU) dalam versi facelift terkini dengan empat varian tersedia. Harga jualan pula berada diantara sekitar RM160,000 hingga ke RM196,000, bergantung pada varian.
Selain model G6 ini, kami difahamkan secara tidak rasmi oleh sumber dalaman bahawa jenama tersebut juga merancang untuk sertakan model X9 dan X9 PowerX REEV melalui operasi CKD bersama EPMB ini dalam masa terdekat.
