Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

ETCM SERAH NISSAN KICKS E-POWER UNTUK UJIAN KENDERAAN PERONDA PDRM

05 Aug 2026
ETCM SERAH NISSAN KICKS E-POWER UNTUK UJIAN KENDERAAN PERONDA PDRM
1 / 4

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah rasmi serahkan dua unit model Nissan Kicks e-Power kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Perkara itu disahkan melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan syarikat tersebut awal hari ini.

Kami difahamkan bahawa penyerahan dua-dua unit ini dijalankan tanpa sebarang komitmen pembelian.

Menurut ETCM, unit yang diserahakn itu akan diguna PDRM untuk menjalani program Proof of Concept (PoC) selama dua bulan. Pihak PDRM bakal menilai penggunaan teknologi elektrifikasi untuk tugas kenderaan peronda barisan hadapan.

Sepanjang tempoh tersebut, PDRM akan mengguna unit-unit Nissan Kicks e-Power yang diberi ETCM ini dalam situasi operasi sebenar untuk menilai aspek prestasi, praktikaliti serta kesesuaiannya sebagai kenderaan barisan hadapan.

Pada masa sama, ujian penilaian ini turut memberi gambaran sama ada teknologi elektrifikasi mampu memenuhi keperluan tugasan polis yang memerlukan kenderaan sentiasa bersedia untuk beroperasi.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis Redzuan Abd Hamid berkata, program PoC ini memberi PDRM peluang menilai prestasi serta kesesuaian Nissan Kicks e-Power sebelum sebarang keputusan dibuat pada masa hadapan.

Beliau juga tambah maklumat dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh penilaian tersebut akan membantu PDRM mengenal pasti penyelesaian mobiliti yang paling sesuai bagi menyokong keperluan operasi pasukan itu.

Sebagai peringatan, Nissan Kicks e-Power tampil sebagai tawaran unik dalam segmennya dengan teknologi tren kuasa extended range/range extender EV (EREV/REED) yang memacunya.

Di bawah bonetnya, Nissan Kicks e-Power dilengkapi enjin 1.2-liter 3-silinder petrol dengan output 82PS dan 103Nm. Enjin ini ditugaskan untuk mengecas pek bateri lithium-ion kompak berkapasiti 2.06kWj.

Enjin petrol tersebut tidak memacu crossover ini, malah pacuan sepenuhnya datang dari motor elektrik yang menghasil 129PS dan 280Nm. Dengan kadar penggunaan bahan api secekap 21.7km/liter, crossover ini mampu bergerak sejauh 900KM dengan setiap pengisian tangki penuhnya.

Kami sempat mengalami crossover pacuan REEV/EREV ini tidak lama dahulu. Apa yang menyerlah di sini adalah kebolehannya untuk beroperasi seperti sebuah kenderaan elektrik tanpa keperluan untuk dicas seperti kenderaan EV ataupun PHEV.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis