Setelah menukar pengedar awal tahun ini, jenama tayar Dunlop baru-baru ini telah umumkan rancangannya untuk perkukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran tempatan.
Sebagai peringatan semula, jenama tayar tersebut kini diedar oleh Toyotsu Binter Malaysia Sdn Bhd. Pengumuman tersebut dibuat semasa Penang Autoshow 2026 pada bulan Mei lepas.
Sejak itu, syarikat tersebut telahpun mula usaha perluaskan rangkaian pengedarannya di seluruh negara. Dalam beberapa bulan sahaja, rangkaian tersebut telah kembang dari sekitar 150 premis ke lebih 200 premis di seluruh negara.
Dengan itu, Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn Bhd, Marcus Lim juga berkata Malaysia merupakan antara pasaran yang mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan jangka panjang bagi jenama Dunlop.
Beliau juga jelaskan strategi syarikat bukan sekadar menambah bilangan pengedar, sebaliknya memastikan produk Dunlop mudah didapati melalui pelbagai saluran termasuk kedai tayar, pusat servis automotif dan platform peruncitan masa hadapan.
Bagi barisan produk, Dunlop menawarkan Blue Response TG untuk kegunaan harian, tayar prestasi tinggi SP Sport Maxx 060+, serta Grandtrek R/T01 untuk SUV dan trak pikap. Barisan ini bakal di dikembangkan lagi dengan tambahan e.Sport Maxx khas buat kenderaan elektrik (EV).
Selain pasaran tayar gantian, Dunlop juga ingin kukuhkan kerjasamanya dengan pengeluar peralatan asal (OEM) menerusi pembekalan tayar kepada beberapa jenama utama seperti Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan Leapmotor.









