Akhirnya, Denza Malaysia telah rasmi lancarkan tawaran terbarunya iaitu Denza Z9GT awal malam ini. Model tersebut tampil buat pertama kali di rantau Asia Pasifik, dan Malaysia menjadi pasaran pertama serantau untuk menerima model ini.
Seperti kami laporkan sebelum ini, tawaran ‘shooting brake’ ini dilengkapi tren kuasa gabungan tiga-motor – satu memacu gandar hadapan dan dua untuk memacu tiap-tiap roda belakang – yang menghasil 1,156PS & 1,210Nm untuk membolehkan pecutan 0-100km/j dalam 2.7 saat. Turut dilengkapi adalah sistem gantungan udara pintar DiSus-A, serta mod ‘Intelligent Crab Walk’.
Selain pek bateri berkapasiti besar 122.49kWj yang menjanji jarak gerak maksima sejauh 701KM, Denza Z9GT ini juga menjadi kenderaan pertama di pasaran Malaysia yang perkenalkan teknologi Megawatt Flash Charging. Digading dengan platform 1,000-volt, EV ini mampu menyokong pengecasan pantas DC sehingga 1,500kW (1.5MW). Dengan ini, pengecasan dari 10% ke 90% hanya perlu 9 minit sahaja.
Beralih ke harga, Denza Z9GT kini buka untuk tempahan di Malaysia dengan tanda harga RM358,800. Termasuk sekali adalah jaminan kenderaan asas 6-tahun atau 150,000KM, pakej servis percuma selama 6-tahun, serta jaminan bateri voltan tinggi selama 8-tahun atau 160,000KM.






