Dengan papan iklan besar-besaran dinaikkan serata Lembah Klang baru-baru ini, kami akhirnya boleh sahkan Denza Malaysia akan rasmi lancarkan tawaran keduanya iaitu Denza Z9GT untuk pasaran tempatan minggu ini.
Melalui siaran akhbar rasmi, tawaran ‘shooting brake’ dari sub-jenama premium BYD ini akan ditawarkan dalam 1 varian elektrik penuh (BEV) sahaja. Versi plug-in hybrid (PHEV) yang dipratontonkan sebelum ini nampaknya tidak dirancang buat masa ini.
Malaysia akan menjadi pasaran Asia-Pasifik pertama untuk menerima model ini yang dilengkapi trenkuasa gabungan tiga-motor – satu memacu gandar hadapan dan dua untuk memacu tiap-tiap roda belakang – yang menghasil 1,156PS & 1,210Nm.
Dengan output tersebut, EV sporty dan mewah ini menjanjikan prestasi cukup tinggi – pecutan 0-100km/j dalam 2.7 saat. Turut dilengkapi adalah sistem gantungan udara pintar DiSus-A, serta mod ‘Intelligent Crab Walk’.
Menarik sekali, selain pek bateri berkapasiti besar 122.49kWj yang menjanji jarak gerak maksima sejauh 600KM, Denza Z9GT ini juga akan menjadi kenderaan pertama di pasaran Malaysia yang akan perkenalkan teknologi Megawatt Flash Charging.
Digading dengan platform 1,000-volt, Denza Z9GT ini mampu menyokong pengecasan pantas DC sehingga 1,500kW (1.5MW). Dengan ini, pengecasan dari 10% ke 90% hanya perlu 9 minit sahaja.
Dengan itu, kami juga difahamkan Denza Malaysia (BYD Cars Malaysia) bakal terajui pembangunan infrastruktur pengecasan EV tempatan untuk menyokong kelajuan pengecasan tahap megawatt tersebut.
Buat masa kini, harga rasmi Denza Z9GT belum diumumkan. Nantikan angka tersebut, bersama pakej lepas-jualan (jaminan waranti) khas untuknya dalam laporan kami susulan dari pelancaran rasminya minggu ini...










