Dalam ucapannya ketika perasmian MCE Auto Hub di Serendah semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memberi pencerahan terhadap polisi operasi pemasangan tempatan (CKD) kenderaan di Malaysia.
Pertama sekali, Johari menekan bahawa kandungan tempatan yang digunakan dalam kenderaan CKD mesti berkeupayaan menjana nilai dalam seluruh rantaian bekalan di Malaysia. Johari juga kata MITI menggalak pengeluar kenderaan di Malaysia berusaha meningkatkan jumlah kandungan tempatan dalam produk mereka secara berperingkat – sekurang-kurangnya dari 10% hingga ke 40%, menurut contoh diberinya.
“Kami mahu setiap kilang pemasangan bagi kenderaan yang masuk ke negara ini — bukan hanya pengeluar kereta tempatan (Proton dan Perodua) — berusaha keras dalam memastikan terdapatnya penglibatan penghasilan kandungan tempatan dalam setiap aspek oleh pembekal di Malaysia,” katanya lagi.
Beliau juga menambah bahawa kandungan tempatan mesti merangkumi penjanaan nilai dan bukan sekadar komponen import yang dipasang di sini.
“Kita mesti mengesan penciptaan nilai dalam seluruh rantaian bekalan yang ada — sama ada Tahap 1, Tahap 2 atau Tahap 3 — untuk memastikan bahawa insentif yang diberikan akan menyumbang kepada keupayaan pengeluaran di Malaysia, dan bukan sekadar kandungan import yang disamarkan sebagai pengeluaran tempatan,” ujarnya lagi.
Tambah menteri MITI itu lagi, Malaysia kini mempunyai kira-kira 730 vendor automotif khusus yang menyokong ekosistem yang menggaji lebih 700,000 orang pekerja. Sektor ini juga menyumbangkan sebanyak RM84 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sepanjang tahun lalu.
“Penyepaduan vendor tempatan ke dalam rantaian bekalan pengeluar kenderaan akan membolehkan Malaysia meningkatkan rantaian nilai secara progresif, yang melangkaui daripada sekadar memasang kit import kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti kejuruteraan, integrasi sistem dan pembangunan komponen,” tambah Johari lagi.



