Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

CHERY RAIH PENYIAPAN STRUKTUR FASA 1 KILANG CKD DI LEMBAH BERINGIN

26 Jun 2026
CHERY RAIH PENYIAPAN STRUKTUR FASA 1 KILANG CKD DI LEMBAH BERINGIN
1 / 5

Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery) telah umumkan satu pencapaian penting dalam pelan pengembangannya di Malaysia. Awal minggu ini, syarikat tersebut telah anjur majlis penyiapan struktur atau 'topping-out' Fasa 1 Chery Smart Auto Industrial Park di Lembah Beringin.

Pencapaian ini menandakan penyiapan pembinaan struktur utama kilang pemasangan (CKD) baharu syarikat itu yang bakal menjadi kemudahan terbesarnya di Malaysia. Sekali gus ini juga memperkukuhkan komitmen jangka panjang pengeluar automotif itu dalam industri automotif tempatan.

Taman perindustrian automotif pintar itu dibangunkan atas kawasan seluas 80.9 hektar dengan nilai pelaburan RM2.2 bilion. Penting sekali, kilang ini juga dijangka memainkan peranan kritikal dalam menyokong pertumbuhan operasi Chery di Malaysia serta rantau ASEAN.

Mula diumumkan pada Februari 2025, pelaburan RM2.2 bilion tersebut disifatkan sebagai salah satu pemangkin penting bagi Chery untuk memperkukuhkan ekosistem perindustrian Selangor dan mengukuhkan lagi kedudukan negeri itu sebagai hab pelaburan serantau.

"Dengan lengkapnya fasa pertama nanti, dijangkakan sekitar 2,000 pekerja akan dapat mencari rezeki ataupun bekerja bagi pihak Chery di sini dan pada fasa seterusnya keseluruhan akan ada sekitar 5,000 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan," kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang hadir semasa majlis ini.

Katanya lagi, kehadiran Chery di Lembah Beringin juga membuka ruang kepada lebih banyak syarikat automotif antarabangsa untuk melabur di negeri itu.  Apabila siap kelak, kilang CKD ini bakal meningkatkan keupayaan Chery dalam aspek pemasangan kenderaan, inovasi serta penghantaran kepada pelanggan.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis