Rangkaian jenama Leapmotor bawah urusan Cycle & Carriage (C&C) diperluaskan lagi baru-baru ini. Melalui satu siaran akhbar rasmi, syarikat pengedaran tersebut telah umum pembukaan sebuah pusat 3S Leapmotor baharu di Kempas, Johor Bahru.
Dikenali sebagai Leapmotor Cycle & Carriage Johor Bahru 3S Centre, cawangan ini merupakan pusat 3S Leapmotor pertama yang didirikan di wilayah selatan. Ia juga adalah cawangan Leapmotor Cycle & Carriage yang keenam di seluruh negara.
Pembukaan pusat baharu ini bakal memudahkan pelanggan Leapmotor di Johor mendapatkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti (3S) di bawah satu bumbung.
Kemudahan ini dibina dengan keluasan 10,000 kaki persegi di atas tanah seluas 3,783 meter persegi, dan ruang pamerannya pula boleh menempatkan sehingga empat buah kenderaan. Lengkap di sini juga adalah ruang konsultasi pelanggan serta bilik penyerahan kenderaan persendirian.
Bagi bahagian selepas jualan pula, pusat 3S ini dilengkapi empat ruang servis dan bengkel, serta kemudahan mencuci dan pusat penjagaan (detailing) kenderaan khusus.
Bagi waktu operasi cawangan ini, bahagian bilik pamerannya buka dari 8AM ke 6PM untuk Isnin hingga Sabtu, dan dari 11AM ke 5PM pada hari Ahad dan cuti am. Bahagian pusat servis pula beroperasi dari 8AM ke 5PM pada Isnin hingga Jumaat, dan dari 8AM ke 12PM pada hari Sabtu.
















