Kembali ke laman Tekan Habis
UMUM

ART OF SPEED 2026 BUKTIKAN BUDAYA KUSTOM MALAYSIA KINI TEGAR

05 Aug 2026
ART OF SPEED 2026 BUKTIKAN BUDAYA KUSTOM MALAYSIA KINI TEGAR
1 / 32

Festival automotif dan gaya hidup Art of Speed (AOS) telah menutup tirainya hujung minggu lepas dengan nota positif besar. Edisi tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-15 bagi festival tersebut yang berlangsung di MAEPS, Serdang pada 1 dan 2 Ogos lepas.

Edisi tahun ini tampil meriah menerusi tema “Summer Festival - Kustom Bergaya", sekali gus menjadikan edisi kali ini antara yang terbesar pernah dianjurkan. Tidak sekadar mempamerkan kenderaan kustom bertaraf dunia, AOS turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai dinikmati seisi keluarga.

Salah satu kekuatan utama AOS 2026 adalah kehadiran tokoh-tokoh terkenal dunia dalam industri automotif kustom. Tahun ini, festival tersebut diserta dan dihadiri nama-nama besar seperti MOONEYES, Liberty Walk, DicE Magazine, Hawgholic, Vise Clothing, dan banyak lagi

Selain itu, pelbagai komuniti dan penganjur acara kustom dari Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei turut hadir memeriahkan festival. Pengunjung juga berpeluang melihat jentera-jentera kustom yang jarang dipamerkan kepada umum seperti Harley-Davidson Knucklehead 1945, Harley-Davidson Shovelhead 1966, selain pelbagai kereta modifikasi dari Thailand, Taiwan dan Jepun.

Bagi penggiat model die-cast, edisi keempat Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) sekali lagi menjadi antara lokasi paling sibuk sepanjang festival berlangsung. Kemuncaknya ialah pelancaran model eksklusif HWCCM 2026 Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34) lengkap bersama nombor siri unik serta lesen rasmi Nissan.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran Ronald Wong, Lead Product Designer, Hot Wheels Premium, serta pameran khas Nissan Skyline GT-R oleh Malaysia Skyline Owners Group (MSOG).

Di dewan utama, pertandingan AOS Invitational Bike Build-Off kembali dengan lapan pembina motosikal terbaik mempersembahkan hasil masing-masing. Tahun ini, Mujo Juros dinobatkan sebagai juara menerusi binaan berasaskan GPX Gentleman 200. Menariknya, beliau bukan sahaja dipilih oleh panel juri, malah turut menerima undian tertinggi daripada pengunjung festival.

Bagi peminat muzik tempatan, AOS 2026 turut dimeriahkan dengan SoundCircus Festival, Enam pentas persembahan muzik tampil di seluruh kawasan MAEPS dengan barisan artis terkenal seperti Ella, Cokelat, Sheila Majid, Nadin Amizah, Hujan, Disagree, Hari Slatan dan ramai lagi.

Selain itu, AOS 2026 juga melihat festival ini jalin kerjasama bersama pelbagai jenama termasuk Liberty Walk, Hot Wheels, DICE Magazine, Touch 'n Go, Zippo, Cricket, Xocks dan beberapa lagi bagi menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pengunjung. Turut tampil adalah kolaborasi bersama Astro Shaw menerusi promosi filem Terbang yang mempamerkan kenderaan ikonik daripada filem tersebut.

Bagi menambah keseronokan pengunjung, AOS 2026 sekali lagi memperkenalkan pertandingan Kembara Passport. Cabaran interaktif ini menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM80,000 termasuk sebuah motosikal custom Thunder Motorcycles 250, sebuah Honda HR-V yang telah diubah suai khas, kamera DJI, pakej pelancongan dan sebuah Vespa S 125.

Menurut Pengarah Festival Art of Speed, Asep Ahmad Iskandar, peningkatan penyertaan antarabangsa membuktikan usaha selama 15 tahun membina hubungan bersama komuniti kustom global akhirnya membuahkan hasil

Beliau tambah AOS bukan lagi sekadar sebuah festival automotif, sebaliknya telah berkembang menjadi platform yang menghubungkan pembina kenderaan, artis, jenama dan peminat dari seluruh dunia.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis