Baru-baru ini, seramai 37 orang juruteknik daripada 25 pusat pengedar jenama Proton e.MAS telahpun menjadi kumpulan pertama yang menerima sijil Juruteknik e.MAS Bertauliah Tahap 2 (L2) menerusi program yang dikendali Proton e.MAS (PRO-NET) dengan kerjasama TVETMARA.
Sijil berkenaan diserahkan menerusi sebuah Majlis Pensijilan Juruteknik e.MAS yang diadakan buat pertama kali awal minggu ini. Program pensijilan ini disahkan oleh TVETMARA Masjid Tanah, Melaka, dan ia memastikan semua juruteknik yang diperakui memenuhi piawaian kemahiran yang ditetapkan.
Bagi memperoleh pensijilan Tahap 2 ini, kesemua peserta perlu melengkapkan sebanyak tujuh modul latihan yang merangkumi kemahiran berkaitan kenderaan elektrik (EV), Ini juga termasuk latihan sistem Voltan Tinggi (HV), dan semua juga menjalani penilaian teknikal bagi mengesahkan pengetahuan teknikal dan keupayaan praktikal mereka.
“Melalui Program Pensijilan Juruteknik e.MAS, kami melabur dalam pembangunan tenaga kerja, meningkatkan piawaian perkhidmatan selepas jualan serta membentuk tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan dan memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik,” kata Zhang Qiang, ketua pegawai eksekutif PRO-NET, melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan syarikat itu.
Beliau juga akur bahawa peralihan ke mobiliti elektrik bukan sekadar memperkenalkan kenderaan berteknologi, tetapi ia turut melibatkan pembangunan keupayaan dan ekosistem yang diperlukan untuk menyokong pelanggan sepanjang tempoh pemilikan mereka.
Tambah PRO-NET lagi, Program Pensijilan Juruteknik e.MAS ini adalah sebahagian daripada strategi pembangunan juruteknik jangka panjang syarikat itu. Melalui inisiatif ini, syarikat tersebut sasar menyediakan laluan pembangunan yang tersusun daripada kemahiran teknikal asas kepada kepakaran EV yang lebih mencabar.
Susulan kejayaan kumpulan pertama pensijilan Tahap 2 ini, PRO-NET juga umumkan rancangannya untuk melaksanakan program pensijilan tahunan bagi juruteknik Tahap 2 (L2), Tahap 3 (L3) dan Tahap 4 (L4).
Buat masa kini, terdapat lebih dari 30,000 kenderaan dengan teknologi elektrifikasi jenama Proton e.MAS di atas jalan raya tempatan, yang dijual menerusi 58 pengedar bertauliah dan diselenggara sekurang-kurangnya 45 pusat servis, dan 10 pusat pembaikan badan dan cat (body & paint) rasmi.



