Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) akhirnya telah rasmi lancar pengganti model Tiguan AllSpace. Diperkenalkan awal hari ini ialah 2026 Volkswagen Tayron – sebuah tawaran SUV tiga-barisan (7 tempat duduk) mewah baharu.
Dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang, dua varian tersedia – 1.5 eTSI Elegance dan 2.0 TFSI R-Line. Harga rasmi varian Elegance diumumkan pada RM189,890 tanpa insurans atau Volkswagen Assurance Package (VAP).
Varian R-Line hanya dipratontonkan hari ini, tetapi tempahan kini sudah buka pada harga anggaran bermula dari RM259,000 hingga RM269,000. VPCM berkata harga muktamad varian prestasi tinggi akan diumumkan tidak lama lagi.
Berasaskan platform MQB Evo, varian Elegance dikuasai nadi 1.5-liter 4-sil turbo petrol separa hibrid (mild hybrid – MHEV) yang menghasil 150PS & 250Nm. Setup ini juga dipadankan dengan transmisi dwi-klac automatik 7-kelajuan.
Varian R-Line pula diberi enjin 2.0-liter 4-sil turbo petrol dengan output tahap tinggi – 265PS & 400Nm. Selain transmisi automatik dwi-klac 7-kelajuan, varian prestasi tinggi ini juga diberi sistem pacuan semua roda (AWD) 4Motion.
dua-dua varian kongsi sistem Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro), paparan meter digital 10.25-inci, paparan infotainmen skrin sentuh 12.9-inci (Elegance) atau 15-inci (R-Line), serta 9 beg udara dan pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2 (Level 2).
Varian R-Line juga diberi beberapa tambahan unik seperti rim aloi 20-inci, paparan head-up display (HUD) yang dipacar ke cermin hadapan, serta sistem audio 700-watt 11-speaker Harman Kardon.























