Lagi berita dari MForce Bike Holdings dan syarikat tersebut telah mengembangkan lagi barisan model jenama Morbidelli. Dua tawaran baharu diumumkan, iaitu T250 dan T250X – masing-masing tampil sebagai tawaran lasak jenis dual-sport dan kembara (adventure).
Apa yang betul-betul menarik di sini adalah harga asas yang amat mampu milik yang dua-dua model ini ditawarkan – dari RM7,988 dan RM9,888 masing-masing tanpa insurans, cukai jalan dan kos pendaftaran. Termasuk sekali dalam angka-angka tersebut adalah jaminan 2-tahun tanpa had batuan.
Nyata buat dua-dua model ini juga adalah reka bentuk dan penggayaan mereka – ciri-ciri estetik tipikal buat mana-mana jenama Itali. Apa yang bezakan mereka adalah kegunaan sebenar masing-masing – model T250 diposisikan sebagai tawaran dual-sport, manakala model T250X tampil sebagai pilihan kembara (adventure).
Apa yang pasti juga adalah dua-dua model dibina untuk kegunaan lasak (off-road), dan ini nyata melalui kegunaan rim jenis lidi (spoke), setup dan jenis sistem gantungan (suspension) tinggi dan jenis ‘long-travel’ (fork hadapan teleskopik dan monoshock belakang boleh-laras), serta ukuran kelegaan tanah dua-dua model ini yang cukup besar.
Di sebalik kulit mereka, T250 dan T250X kongsi nadi 249cc SOHC silinder tunggal dengan penyejukkan minyak (oil-cooled) serta sistem suntikan bahap api (electronic fuel injection – EFI) yang menjana 24.4PS dan 23Nm. Nadi tersebut dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan setup pacuan rantai.
Dua-dua model dilengkapi rim jenis lidi bersaiz 19-inci (hadapan) and 17-inci (belakang), serta sitem brek cakera depan dan belakang dengan angkup (caliper) dwi-piston dan kawalan ABS dwi-saluran. Kelengkapan utama lain termasuk lampu-lampu LED, paparan meter digital, serta port pengecas USB-A berkembar.
Masing-masing tersedia dalam ttiga (T250) dan empat (T250X) pilihan warna dan skema grafik yang menyerlah tersendiri, dan tempahan kini dibuka melalui pengedar-pengedar sah di seluruh negara.











