Jenama Moda bawah naungan AFY Mobility Industries (AMI) telah rasmi perkenalkan Sporter S SKII. Tidak seperti versi Sporter S yang dilancarkan pada tahun 2024, tawaran maxi-scooter bergaya sporty premium ini telah diberi sekurang-kurangnya 10 penambahbaikkan yang meningkatkan lagi nilainya bagi pembeli.
Semasa pelancaran rasminya awal hari ini, pihak Moda dedah semua perubahan telah dilakukan mengguna maklum balas daripada pemilik sedia ada, serta komuniti penunggang tempatan. Langkah ini juga selari dengan falsafah jenama Moda sendiri iatu “By Bikers, For Bikers.”
Perubahan estetik paling ketara termasuk tambahan ‘winglet’ hadapan aerodinamik yang direka untuk meningkatkan lagi kestabilan kelajuan tinggi, rekaan penghadang angin boleh laras elektrik baharu, serta rekaan cermin sisi baharu yang kini dipasang di handlebar – bukan jenis ‘integrated’ dalam fairing hadapan seperti sebelum ini.
Menarik di sini juga adalah beberapa tambahan kemasan kosmetik dengan rupa a la gentian karbon (carbon fibre). Tambahan ini cukup menyerlah apabila dipadankan dengan plihan skema warna grafik baharu ‘Porsch White’ (putih-merah) dan ‘Titan Blue’ (putih-biru) yang kini ditawarkan untuk model versi kemaskini ini.
Baharu di sini juga adalah paparan meter digital TFT 7-inci baharu lebih besar dan jelas, kamera rakaman papan pemuka HD (dashcam) hadapan, lampu DRL LED hadapan dengan tahap pencahayaan lebih terang yang juga telah diposisikan semula, serta suis kawalan pelbagai fungsi belah kiri handlebar baharu.
Dari segi casis, Moda Sporter S SKII ini juga diberi talaan baharu bagi sistem gantungan (suspension) yang ia dilengkapkan. Merangkumi fork teleskopik hadapan jenis inverted dan penyerap hentak belakang berkembar yang juga memberi pelarasan pre-load. Kekal sini juga adalah hiasan emas bagi batang fork dan tabung (reservoir) masing-masing.
Ciri-ciri lain yang dilengkapi sebelum ini seperti port pengecas USB-A dan USB-C, sistem pemantauan tekanan angin tayar (tyre pressure monitoring system), brek cakera kembar hadapan 260MM dan cakera belakang 240MM bersama sistem ABS dwi-saluran, sistem kawalan cengkaman (traction control system – TCS), serta sistem kunci pintar, semua kekal.
Kekal juga adalah pakej tren kuasa Euro 4 yang merangkumi enjin satu-silinder 244cc SOHC empat-injap dengan penyejukkan cecair yang menjana 24.8HP @ 8,500RPM dan 22.5Nm @ 6,500RPM, serta padanan transmisi automatik CVT pulas-pergi.
Beralih ke harga, 2026 Moda Sporter S SKII kini tersedia melalui pengedar rasmi dengan harga asas RM17,998 (tanpa insurans dan kos pendaftaran). Untuk perbandingan, versi Sporter S yang ditawarkan sebelum ini berharga RM17,888. Termasuk sekali adalah jaminan waranti 2-tahun atau 20,000KM.

















