Bike Continent Sdn Bhd, pengedar jenama motosikal Lambretta di Malaysia, telah anjurkan pratonton awal bagi model 2026 Lambretta J200 terbarunya. Skuter bergaya retro (klasik) ini ditayangkan awal hari ini semasa hari pembukaan festival Art of Speed 2026 di MAEPS, Serdang.
Di sebalik luaran gaya klasiknya yang diinspirasikan barisan model Lambretta J Series ikonik dari tahun 1960an, Lambretta J200 terbaru ini dikuasai enjin silinder tunggal 174.5cc yang menjana 17HP untuk memacu roda belakangnya melalui transmisi automatik CVT.
Kelengkapan utama casis pula merangkumi tangki bahan api berkapasiti 9-liter, sistem gantungan (suspension) jenis Double Arm-Link (hadapan) dan penyerap hentak kembar (belakang) dengan pelarasan lima-tahap, serta brek cakera depan belakang dengan sistem ABS dwi-saluran.
Ciri-ciri lain yang dilengkapi juga termasuk pencahayaan LED penuh, paparan meter digital TFT orientasi potret, sistem kunci pintar (keyless), ruang simpanan bawah tempat duduk, serta ruang simpanan hadapan (glovebox) lengkap dengan port pengecas USB-A dan USB-C.
Bike Continent Sdn Bhd tidak memberi petunjuk tentang garis masa atau tarikh rasmi pelancaran, mahupun harga anggaran model ini. Walaubagaimanapun, dengan pratonton khas ini di AOS 2026, model baharu ini dijangka rasmi dilancar dalam beberapa bulan yang akan datang.


















