Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) baru sahaja mengembangkan barisan skuter AT mereka dengan sebuah tambahan baharu - 2026 Honda Vario 125 Street.
Rasmi dilancarkan di Kuala Lumpur semasa acara pop-up khas baru-baru ini, tawaran Vario 125 Street ini diposisikan sebagai tawaran skuter permulaan premium.
Ia mengguna nadi 125cc eSP penyejukan cecair silinder tunggal yang cekap dengan output 12PS & 12Nm. Selain pacuan automatik CVT, enjin tersebut dilengkapi fungsi ISS (Idling Stop Start) yang mengurangkan pelepasan dan meningkatkan lagi kecekapan bahan api.
Kemudahan lain yang disertakan termasuk panel meter digital, lampu LED penuh, sistem kunci 'keyless', tempat simpanan bawah tempat duduk 18 liter, port pengecas USB, sistem brek gabungan (CBS), dan banyak lagi.
Tersedia dalam dua pilihan warna, tawaran 2026 Honda Vario 125 Street baharu ini berharga dari RM7,468. Ia akan tersedia melalui pengedar rasmi bermula bulan depan (Mei).
