Sime Darby Auto Connexion-Ford (Auto Connexion-Ford), pengimport sah jenama Ford, rasmi melancarkan trak pikap Ford Ranger versi 2026, awal hari ini. Tiga varian utama, bersama dua pilihan tren kuasa turbo-diesel serba baharu kini ditampilkan – XL (2.0), Sport (2.0 & 3.0), serta Platinum (3.0).
Varian XL asas kini ditawarkan pada RM127,888, manakala varian Sport 2.0 dan 3.0 pula masing-masing ditawarkan pada RM145,888 dan RM159,888. Varian Platinum 3.0 pula ditawarkan pada RM205,888. Kesemua harga tersebut juga termasuk jaminan waranti selama 5 tahun.
Pembeli terawal yang menempah varian Sport 3.0 dan Platinum 3.0 sebelum 31 Ogos 2026 juga menikmati Pelan Servis Lanjutan Asas (Basic Extended Service Plan, ESP) selama dua tahun yang ditawarkan secara percuma. Pembeli yang menempah varian XL dan Sport 2.0 pula akan dapat dashcam hadapan rasmi Ford secara percuma.
Buat masa ini, Auto Connexion-Ford tidak memberi sebarang petunjuk tentang kemasukan varian Wildtrak dan Raptor versi kemaskini. Kami menjangkakan kedua-dua varian tersebut bakal tiba pada masa hadapan.
Perubahan paling ketara di sini adalah pakej tren kuasa digantikan dalam ketiga-tiga varian – sebelum ini, hampir semua varian Ranger (kecuali Raptor 3.0) berkongsi nadi 2.0-liter ‘BiTurbo’ diesel 4-silinder yang sama.
Kini, varian XL dan Sport 2.0 berkongsi nadi 2.0-liter 4-silinder turbo-diesel serba baharu yang menghasilkan kuasa 170PS dan 405Nm tork. Varian Sport 3.0 dan Platinum 3.0 pula berkongsi nadi 3.0-liter V6 turbo-diesel serba baharu yang menghasilkan kuasa 250PS dan 600Nm tork. Semua varian juga dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan, dengan pacuan 4x4.
Selain penggantian tren kuasa, perubahan tahap kelengkapan bagi varian Ranger XL juga cukup ketara – varian ini menerima jumlah penambahbaikan yang tertinggi berbanding varian Sport dan Platinum. Selain itu, tahap kelengkapan yang ditawarkan varian lain kelihatan lebih kurang sama seperti versi sebelum ini - kecuali beberapa perubahan estetik kecil.






































