Walaupun acara tergendala sedikit akibat hujan, Chery Malaysia nekad jalankan pelancaran rasmi 2026 Chery Tiggo 9 di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, malam semalam.
SUV segmen-D mewah tiga-baris ini telah dipratotonkan dan buka untuk tempahan sejak bulan lepas, dan harga rasminya diumumkan semalam. Menarik sekali, dua pakej pembelian ditawarkan:
- Flexi: RM166,800
- Prime: RM179,800
Dua-dua kongsi jaminan waranti kenderaan asas selama 7-tahun atau 150,000KM, jaminan enjin selama 10-tahun atau 1,000,000KM, serta pakej servis percuma 5-tahun.
Pakej Prime diberi ganjaran tambahan dalam bentuk insurans kenderaan setahun percuma bernilai RM4,500, subsidi petrol percuma bernilai RM3,000, serta rebat tunai sebanyak RM5,000. Pakej ini hanya ditawarkan pada pembeli terawal, tetapi tiada had peruntukkan atau tarikh akhir pembelian diumumkan.
Tawaran terbesar dan paling mewah dari jenama China ini dilengkapi pelbagai ciri-ciri premium seperti tempat duduk dengan fungsi pengudaraan dan urut (massage), sistem audio 14-speaker Sony, lampu ambien kabin dinamik 64-warna, balutan tempat duduk kulit, bumbung gelas panoramik, dan banyak lagi.
Selain paparan meter dan skrin sentuh infotainmen canggih yang dikuasai chip Qualcomm Snapdragon 8155, model Tiggo 9 ini juga dilengkapi pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2.5. Pakej tersebut merangkumi lebih kurang 23 fungsi termasuk sistem bantuan parkir autonomi.
Dari segi mekanikal, Tiggo 9 dilengkapi nadi 2.0-liter 4-sil turbo petrol, transmisi 7-nisbah dwi-klac (DCT) automatik, dan pacuan semua roda (AWD) pintar. Bukan sahaja berkuasa tinggi (256PS & 390Nm), setup ini juga menawar 7 plihan mod panduan dan prmukaan, serta kecekapan bahan api serendah 8.3 liter/100KM.
Apa pandangan anda tentang tawaran mewah dari Chery ini? Mampukah ia menarik pembeli daripada pilihan mewah tradisional jenama-jenama legasi Eropah dan Jepun yang setaraf tetapi lebih mahal?









