Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

2026 BYD SEALION 7 DILANCARKAN – 3 VARIAN, DARI RM159,800*

30 Jul 2026
2026 BYD SEALION 7 DILANCARKAN – 3 VARIAN, DARI RM159,800*
1 / 15

Awal hari ini, BYD Sime Motors telah rasmi melancarkan 2026 BYD Sealion 7 untuk pasaran tempatan. Ini adalah versi kemaskini terbaharu buat tawaran EV SUV segmen-D popular ini, dan terdapat beberapa penambahbaikkan serta satu varian baharu.

Tampil di 1Utama sempena acara ‘roadshow’ jenama tersebut yang berlangsung hujung minggu ini di 1Utama dari 30 July hingga ke 2 Ogos, Sealion 7 kini tersedia dalam tiga varian – Dynamic, Premium dan Performance AWD.

Varian Dynamic adalah tambahan baharu dan diposisikan sebagai tawaran varian asas bagi EV D-SUV ini. Spesifikasi varian ini merangkumi setup satu e-motor yang memacu roda belakang (RWD) dengan 231PS dan 380Nm, serta pek bateri ‘Blade’ LFP 71.8kWj.

Selain kebolehan memecut dari 0 ke 100km/j dalam 7.3 saat dan jarak gerak maksimum NEDC sejauh 520KM, varian ini juga diberi sokongan pengecasan pantas DC setinggi 110kW – lebih pantas dari varian-varian yang ditawarkan sebelum ini.

Beralih ke varian Premium, outputnya lebih tinggi pada 313PS (tork tetap sama pada 380Nm) untuk membolehkan pecutan 0-100km/j lebih pantas – 6.9 saat. Varian ini juga dilengkapi pek bateri ‘Blade’ LFP lebih besar yang berkapasiti 91.39kWj.

Pek tersebut menjanjikan jarak gerak maksimum NEDC sejauh 650KM, serta sokongan pengecasan pantas DC yang lebih tinggi – 230kW.

Varian Performance pula dilengkapi setup dwi-motor dan pacuan semua roda (all-wheel-drive – AWD) yang menjana 530PS dan 960Nm untuk membolehkan pecutan 0-100km/j hanya dalam 4.5 saat – ini adalah varian paling berkuasa dan terpantas sekali.

Secara tipikal dengan setup yang berfokus pada prestasi, jarak gerak maksimum NEDC varian ini dikurangkan ke 600KM sahaja walaupun ia dilengkapi pek bateri ‘Blade’ LFP 91.39kWj, serta pengecasan pantas DC 230kW yang sama dengan varian Premium.

Selain 9 beg udara, pakej keselamatan yang dikongsi semua varian 2026 BYD Sealion 7 telah diperkukuhkan dengan pakej bantuan pemanduan (ADAS) lengkap yang membolehkan panduan separa-autonomi Tahap 2+ (Level 2+).

Apa yang membezakan semua varian selain spesifikasi mekanikal adalah ciri-ciri dan kelengkapan mewah tertentu. Selain itu, versi model tahun 2026 ini tidak mempunyai perubahan ketara dari segi visual dan estetik.

Beralih ke harga dan 2026 BYD Sealion 7 kini buka untuk tempahan dari RM163,800 (Dynamic), RM188,800 (Premium) dan RM203,800 (Performance AWD).

Termasuk sekali adalah jaminan waranti kenderaan asas 6-tahun atau 150,000KM, jaminan waranti pek bateri voltan tinggi dan unit pacuan (e-motor) selama 8-tahun atau 160,000KM.

Menarik sekali, 300 pembeli terawal  yang menempah varian Dynamic baharu boleh pilih antara manfaat dalam bentuk pengecas wallbox percuma atau rebat harga belian sebanyak RM4,000 yang mengurankan harga belian ke RM159,800.

Tempahan untuk varian Premium dan Performance AWD pula memberi pembelinya manfaat wallbox percuma, serta bonus ‘overtrade’ sebanyak RM3,888 dan RM2,888 masing-masing bagi pemilik BYD sedia ada yang ingin naik taraf.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis