Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

2026 BMW iX3 RASMI TIBA – 805KM WLTP, DARI RM378,800

06 Aug 2026
2026 BMW iX3 RASMI TIBA – 805KM WLTP, DARI RM378,800
1 / 46

Awal hari ini, BMW Group Malaysia telah kembangkan lagi barisan model elektrik (EV) untuk pasaran tempatan degan pelancaran rasmi 2026 BMW iX3. Tawaran dari barisan ‘Neue Klasse’ pertama ini tiba dalam varian iX3 50 xDrive M Sport Pro.

Tidak seperti jangkaan awal ramai, tawaran EV SUV ini tiba dalam versi ‘Standard Wheelbase’ (kod casis: NA5) yang dibina di Hungary – spekulasi awal adalah model ini bakal tiba dalam versi ‘Long Wheelbase’ (kod casis: NA6) yang dibina di China.

Menarik lagi, iX3 untuk pasaran Malaysia bukan sahaja tampil dalam varian tertinggi lengkap dengan tren kuasa setup dwi-motor dan pek bateri terbesar sekali, ia juga tiba lengkap dengan pakej estetik luaran dan dalaman penuh M Sport Pro.

Terus ke harga dahulu dan 2026 BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro ini sudah buka untuk tempahan pada RM378,800 tanpa insurans, cukai jalan dan kos pendaftaran. Angka tersebut naik ke RM399,800 jika pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) dipilih.

Selain reka bentuk baharu, model iX3 generasi ‘Neue Klasse’ ini juga dibina atas seni bina 800-volt baharu yang dilengkapi teknologi BMW eDrive generasi keenam baharu, serta sistem kawalan canggih baharu yang dikenali sebagai ‘Heart of Joy’.

Pek bateri yang dilengkapi varian ini berkapasiti 108.7kWj, dan ia juga mempunyai sokongan pengecasan pantas DC sehingga 400kW yang menambah kira-kira 372KM jarak gerak dengan hanya tempoh pengecasan 10 minit. Jarak gerak maksimum WLTP pula adalah 805KM menurut BMW.

Beralih ke motor elektriknya, ix3 50 xDrive M Sport ini dilengkapi setui dwi-motor yang menjana output gabungan 469HP (345kW) dan 645Nm untuk memacu semua rodanya. Dengan itu, pecutan 0-100km/j dicapai 4.9 saat, manakala kelajuan maksimum pula dihadkan pada 210km/j.

Dari segi estetik, ciri-ciri menarik termasuk ‘kidney grille’ terkemuka jenama Jerman ini siap dengan pencahayaan ‘BMW Iconic Glow’, serta set rim aloi 22-inci Y-spoke Style 1054 M dan angkup brek M Sport merah yang datang melalui pakej M Sport Pro. Tempat duduk hadapan dan rekaan dalaman kabin hitam juga tampil melalui pakej M Sport Pro.

Dari segi teknologi pula, kabin iX3 50 xDrive M Sport Pro ini tampil dengan kelengkapan canggih terbaru BMW Panoramic iDrive. Termasuk di sini adalah paparan lebar BMW Panoramic  Vision 43.3-inci, BMW 3D Head-Up Display (HUD), serta skrin sentuh 17.9 inci, dan semuanya dikuasai perisian BMW Operating System X terbaru.

Turut dilengkapi juga adalah pakej batuan pemanduan (ADAS) lengkap Driving Assistant Plus bersama Parking Assistant Professional, serta tekonologi sambungan BMW Digital Premium, BMW Digital Key Plus dan sambungan aplikasi My BMW yang memberi pemilik kawalan serta pemantauan kenderaan dari jauh.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis